Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perlakuan atau perbuatan yang tidak mematuhi undang-undang.
"Antaranya, larangan membawa atau membakar bahan letupan termasuk suar, bunga api, mercun dan apa jua yang didefinisikan sebagai bahan letupan serta senjata tajam atau berbahaya yang boleh menimbulkan kekacauan kepada orang awam," katanya menerusi kenyataan, Jumaat.
Sulaiman berkata penyokong kedua-dua pasukan juga dilarang mendatangkan provokasi yang boleh mencetuskan perbalahan dan membawa sebarang peralatan yang boleh mendatangkan kecederaan seperti botol kaca, kayu dan batang besi.
"Penonton turut dinasihatkan menjaga tingkah laku, moral, budaya dan etika yang positif serta semangat kesukanan yang tinggi sebelum, semasa dan selepas perlawanan," katanya.