SINGAPURA: Gembira! Terharu! Puas hati! Itu adalah reaksi segera atlet lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa apabila ditanya pencapaian bersejarahnya pada Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura, Khamis. Nauraj Singh, 24, layak ke Sukan Olimpik Rio de Janeiro Ogos ini secara merit selepas mencatatkan 2.29 meter pada kejohanan itu, menyamai had kelayakan ke Sukan Olimpik. Selain memenangi pingat emas, kejayaan beliau itu sekali gus memperbaharui rekod kebangsaan 2.27 meter yang dipegang Lee Hup Wei sejak 2010. Atlet ini juga memperbaiki catatan terbaiknya, 2.25 meter ketika menyertai Canberra Track Classic dua bulan lepas. "Saya mengucapkan terima kasih kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) yang membantu saya sepanjang tiga bulan lepas ketika saya menjalani latihan di Australia," kata Nauraj kepada Bernama. "Tempoh tiga bulan itu adalah sangat penting bagi saya. Ia membawa saya di mana saya sekarang. Tanpa latihan itu, saya tidak percaya saya berjaya melakukannya," katanya. - Bernama