KOTA BAHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) tidak menolak kemungkinan melakukan rombakan besar-besaran dalam skuad negeri itu semasa 'pintu perpindahan' pemain dibuka pada Jun ini. Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa berkata rombakan itu perlu dilakukan bagi memperkuatkan pasukan agar kekal kompetitif bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini. "Mungkin banyak pasukan akan merombak pasukan mereka semasa tempoh pintu perpindahan pemain dibuka, bagi memperkuatkan skuad mereka. "Kelantan juga tidak terkecuali, usaha akan diteruskan malah mungkinrombakan besar akan berlaku," katanya menerusi catatan entri terbaharu pada laman Facebooknya, Selasa. Annuar berkata amat sukar bagi mencari kombinasi membentuk sesebuah pasukan juara, namun usaha itu mesti dilakukan. Dalam entri berbeza semalam, Annuar berkata Kelantan merupakan sebuah pasukan yang memiliki modal paling kecil dan miskin dalam saingan Liga Super musim ini. "Kelantan satu-satunya pasukan yang mana pengurusannya terpaksa terus menerus mencari tajaan akibat bajet yang belum mencukupi tahun ini. Satu lagitahun yang sukar buat Kelantan. "Dari segi prestasi terkini, kami berada di tangga kelima selepas sembilan perlawanan dengan mencatat jaringan ketiga terbanyak dan tanpa kalah digelanggang sendiri. "Apa pun sasaran Kelantan tahun ini adalah pada kedudukan kelima sehingga kesepuluh dalam liga. Kita belum mampu membentuk pasukan berkualiti dengan pelbagai kekurangan yang ada. "Kita berusaha untuk terus bertahan dalam liga agar tidak menerima nasib seperti pasukan lain sebelum ini yang pernah (menjadi) juara, kemudian jatuh merudum," katanya. Sebelum ini, Kafa dan pasukan Kelantan dikritik penyokong mereka berikutan skuad kendalian K.Devan menunjukkan prestasi yang tidak konsisten dan mengecewakan selepas tewas di suku akhir Piala FA kepada Kedah dan berada di kedudukan kelima Liga Super. -Bernama