suria

Aliff Syukri Anggap KFA Tak Adil

PETALING JAYA: Pemilik syarikat D’Herbs Holding (M) Sdn Bhd (D'Herbs) Datuk Aliff Syukri Kamarzaman mengakui kecewa kerana tidak dimaklumkan lebih awal mengenai keputusan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menolak tajaannya bernilai RM30 juta.

"Jujur sebenarnya saya amat kecewa kerana pengumuman dibuat secara tiba-tiba, tanpa pengetahuan saya langsung!," katanya menerusi kenyataan dalam laman Facebooknya pada malam Rabu.

Beliau berkata, adalah tidak adil baginya untuk tidak dimaklumkan mengenai perkara itu kerana sebelum ini kedua-dua pihak berbincang secara baik.

"Sebelum ini kenapa kita boleh berbincang dengan baik dan bersama tapi kali ini terus dibuat keputusan tanpa pengetahuan saya. Jadi saya merasakan adalah tidak adil untuk saya," katanya.

Pada masa sama, Aliff Syukri menegaskan tidak kecewa kerana gagal menaja Kedah walaupun banyak masa dihabiskan untuk memastikan rundingan tersebut menjadi kenyataan.

"Saya tidak kecewa tidak dapat menaja Kedah walaupun saya dah lama spend masa sehingga ke peringkat akhir," katanya.

Justeru, beliau akan mengadakan sidang media pada petang Jumaat ini bagi menjawab segala persoalan berbangkit mengenai isu tersebut.

"Saya akan beritahu semua isu-isu yang anda nak tahu pada PC (sidang media) itu. Jadi boleh buat kesimpulan masing-masing," katanya.

Usahawan muda yang terkenal dengan tagline 'Terlajak Laris' itu turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membuat sebarang andai mengenai perkara tersebut.

"Yang diluar jangan pandai-pandai buat andaian ya, tunggu kesahihan saya dulu. Macam-macam cerita keluar," katanya.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar pada Rabu berkata keputusan penolakkan tajaan itu dibuat selepas mendapati ada beberapa syarat yang ditetapkan oleh pihak penaja sukar untuk diterima badan induk bola sepak negeri tersebut.

"Selepas perbincangan dibuat dalam mesyuarat pengurusan KFA, kami dapati ada beberapa syarat yang ditetapkan oleh D'Herbs tidak boleh diterima dan dilihat  boleh menyukarkan pihak KFA, namun isi kandungan syarat tidak boleh diberitahu.

"Walaupun tajaan tidak diteruskan, KFA berterima kasih kepada pihak D'Herbs  atas kesudian untuk membantu menaikkan imej KFA dan berharap jalinan kerjasama dapat diteruskan dalam bentuk medium yang lain," katanya dalam sidang media di Stadium Darul Aman pada Rabu.

Pada 23 April lalu, Aliff Syukri mengesahkan D'Herbs bersetuju menaja RM30 juta untuk tempoh tiga tahun untuk program pembangunan bola sepak serta membaiki Stadium Darul Aman.
Aliff Syukri, D'Herbs, KFA, Kedah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain