PETALING JAYA: Usahawan kosmetik, Faziani Rohban mendedahkan, syarikatnya Dnars juga tidak ketinggalan dipelawa untuk menaja pasukan bola sepak tempatan awal musim ini. Seiring trend skuad bola sepak ditaja syarikat kosmetik sebagai platform untuk memasarkan produk mereka, beliau bagaimanapun akur apabila tiada sebarang perjanjian dimeterai dengan pasukan yang dirahsiakannya itu. “Kami pernah dipelawa satu pasukan untuk menjadi penaja, tapi saya tak nak sebut pasukan mana, dari negeri mana. “Rundingan juga dibuat tetapi tiada rezeki untuk menaja mana-mana pasukan tahun ini,” katanya kepada mStar Online. Faziani adalah penaja utama Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) pada Sabtu lalu, anjuran mStar Online dan Suria FM. Faziani tidak menolak kemungkinan untuk menaja pasukan bola sepak pada tahun depan. Pengasas Dnars yang berasal dari Kelantan ini berkata, bukan mustahil untuk menaja pasukan bola sepak sekiranya ia memberi sesuatu yang positif untuk perniagaannya. Malah katanya, dua produk keluaran syarikatnya iaitu Jus Lutox Dnars dan Gel Lutox Dnars bersesuaian dengan pemain bola sepak. “Pada saya, kenapa tidak (menaja) kalau ia baik untuk mengembangkan perniagaan. Ini kerana Dnars sendiri mempunyai produk gel dan jus Lutox bagi mengatasi sakit sendi. “Ia bagus untuk ahli sukan bagi membantu keregangan dan mengurangkan lenguh pada sendi. Sebelum bermain bola, mereka boleh pakai dekat sendi atau pergelangan kaki,” ujar Faziani. Beliau turut mendedahkan, pada masa ini beberapa pemain bola menggunakan dua produknya itu untuk lincah beraksi di padang, namun enggan mengulas lanjut. Faziani (kanan) bersama suami, Ahmad Shah Rizal. Ditanya mengenai senarai pasukan bola sepak yang menjadi pilihan untuk ditaja, Faziani berkata, biarlah perkara itu menjadi rahsia buat masa ini. “Walaupun saya dari Kelantan, tidak bermakna saya akan menaja Kelantan. Mungkin negeri-negeri lain sebab pada saya, ia lebih kepada bisnes saya. “Asalkan produk saya berjalan, tidak kiralah negeri mana pun. Asalkan rundingan itu bagus untuk kedua belah pihak, okay buat saya,” katanya. Tambah Faziani, beliau lebih mengutamakan produk keluaran syarikatnya ke hadapan berbanding dirinya sendiri sebagai pengasas. “Dnars mengutamakan perniagaan. Saya mahu produk yang ke hadapan. Hanya setahun kebelakangan ini orang mula mengenali saya. “Kalau ada situasi menang-menang, InsyaAllah kita taja. Kita tunggu tahun depan, kalau ada rezeki Dnars di dunia bola sepak,” katanya.