suria

Nasib Bekas Pemain Negara Asyraf Anbalagan Terbela

Asyraf Anbalagan (kiri) ketika bergelar pemain bola sepak.

KUANTAN: Nasib bekas pemain bola sepak negara Muhammad Asyraf Anbalagan Abdullah, 49, yang kini tidak mampu berjalan akibat angin ahmar tahun lepas, mendapat perhatian Kelab Anak-anak Jerantut@Klang Valley (JKV).

JKV memberikan sumbangan sebanyak RM3,000 kepada Muhammad Asyraf sebagai menghargai jasa dan sumbangan bekas penyerang kebangsaan itu terhadap bola sepak negara.

Sumbangan yang disampaikan Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Rozilan Salleh yang juga Presiden JKV itu merupakan hasil kutipan derma pada kejohanan bola sepak lapan penjuru pada April lepas.

Sementara itu, isteri Muhammad Asyraf, Hamili Hamzah, 46, ketika ditemui pemberita berkata suaminya diserang angin ahmar pada Januari tahun lepas dan kini menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini.

"Pada mulanya dia agak sukar menerima masalah kesihatan ini tetapi sekarang, macam mana yang kita nampak dia sudah boleh terima keadaan itu dan bergerak dengan bantuan kerusi roda," katanya.

Hamili mengucapkan terima kasih atas sumbangan untuk suaminya itu kerana sedikit sebanyak meringankan beban tanggungan keluarga memandangkan dua anak mereka masih belajar iaitu seorang di tingkatan satu manakala seorang lagi menuntut di Universiti Malaysia Pahang.

Muhammad Asyraf terkenal dengan larian kencangnya dan merupakan antara pemain yang membantu Malaysia merangkul pingat emas di temasya Sukan Sea, Kuala Lumpur pada 1989.

Beliau juga pernah beraksi menentang kelab terkenal Liga Inggeris, Everton dalam perlawanan persahabatan sebelum temasya dwitahunan itu membuka tirainya.

Muhammad Asyraf pernah bergandingan bersama bintang dan bekas pengendali Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh, Yunus Aliff, Fandi Ahmad, V Sundramoorty dan penyerang dari Thailand Ronnachai Sayomchai dan Piyapong Pue-on dalam skuad Pahang (1985-1992).

Sebelum acara penyampaian sumbangan itu, satu perlawanan persahabatan antara Kelab Media Pahang dan JKV turut diadakan yang berkesudahan dengan kemenangan 3-1 kepada JKV.

Artikel Lain