KUALA LUMPUR: Penunggang Moto3 negara, Khairul Idham Pawi menamatkan aksinya di tempat ke-14 selepas mencatatkan 41 minit 44.948 saat di perlumbaan 24 pusingan Grand Prix Perancis di Litar Le Mans, pada Ahad. Khairul Idham yang memulakan perlumbaan di petak kesembilan bermula dengan baik untuk memastikan dua mata kejohanan mampu dikutipnya. Beliau yang turut dikenali sebagai Super KIP kini menduduki tangga kesembilan keseluruhan dengan 29 mata selepas mengharungi lima perlumbaan. "Saya bermula dengan baik dan dapat kekal bersama kelompok pendahulu di beberapa pusingan awal. Selepas ini, saya dapati ada masalah di bahagian belakang jentera. "Ini menyebabkan saya terpaksa bertungkus lumus mengawal motosikal, menyebabkan saya tidak mampu mengejar. "Namun, ia cukup baik kerana masih mampu mendapatkan mata kejohanan dan saya harap dapat melakukan yang lebih baik dalam perlumbaan seterusnya di Litar Mugello, Itali," kata pelumba Honda Team Asia itu dalam kenyataan yang dikeluarkan pasukannya. Rakan sepasukannya, Hiroki Ono dari Jepun terpaksa menghentikan aksi di pusingan ke-16 akibat kemalangan. - BERNAMA