BINTANG Barcelona, Lionel Messi menyatakan harapan untuk melihat Atletico Madrid menjuarai Liga Juara-Juara berbanding Real Madrid. Dia berkata demikian dalam satu temubual dengan ESPN FC mengenai prestasi kelab itu pada musim ini. Messi berkata dia sangat kecewa apabila Barca tersingkir daripada Liga Juara-Juara tetapi ingin terus memandang ke hadapan dan memberi fokus terhadap sasaran yang lebih realistik iaitu mengejar gelaran juara La Liga. Menurut pemain penyerang itu, Barca dan penyokongnya lebih mengharapkan Atletico menjuarai Liga Juara-Juara berbanding Real Madrid. "Bagi masyarakat Barcelona, menjadi satu kepuasan jika melihat Atletico yang menjuarainya. Di Barcelona, penyokong akan lebih senang jika melihat Real Madrid kalah," kata Messi. Pemain dari Argentina ini mengakui bahawa Atletico adalah lawan yang sangat sukar dan tidak mudah untuk mengalahkan skuad Diego Simeone. "Atletico adalah lawan yang mencabar, semua itu hasil bimbingan Diego Simeone," katanya. Selain gelaran juara La Liga, Messi dan rakan-rakan juga akan memberi tumpuan dalam merebut gelaran juara Copa Del Rey.