suria

Kedah Dapatkan Penyerang Baharu Jun Ini

Tiga daripada empat pemain import Kedah.

KEDAH akan mendapatkan khidmat penyerang baharu pada jendela pemindahan pemain Jun ini bagi meneruskan cabaran Liga Malaysia.

Pengurus skuad Helang Merah, Datuk Jeffrey Low Han Chow berkata, kelemahan ketara di bahagian serangan dan masalah penyudah memaksa pasukan itu mendapatkan penyerang secepat mungkin.

"Kita tidak boleh melepaskan peluang untuk memantapkan pasukan Kedah pada jendela pemindahan pemain Jun ini. Ini kerana perkara sama turut dilakukan pasukan lain.

"Pemain mana yang bakal beraksi bersama Kedah itu belum dapat dipastikan lagi. Ada banyak calon dan kita perlu membuat pemilihan tepat.

"Saya yakin penyerang yang bakal menyarung jersi hijau kuning nanti mampu menggalas tugas dengan baik demi meningkatkan lagi kemampuan Kedah untuk terus bersaing dalam Liga Malaysia," katanya kepada mStar Online.

Beliau menambah, calon yang akan diuji juga tidak dapat diumumkan sehingga masa sesuai tiba kerana pemain yang ada perlu menyelesaikan tugas mereka terlebih dahulu.

"Saya tidak akan melakukan kesilapan dengan mengambil pemain tanpa melakukan ujian. Pemain yang ingin bersama Kedah perlu datang dan buktikan kemampuan. Mereka akan diterima sekiranya Tan Cheng Hoe (ketua jurulatih) berpuas hati.

"Kata-kata atau janji manis sahaja tidak akan menjamin tempat pemain ini kecuali dia dapat menjadi penyerang dengan penyudah terbaik.

"Dengan cara ini kita dapat membentuk sebuah pasukan yang mantap untuk terus berjuang dalam Liga Super dan Piala Malaysia nanti," jelas beliau.

Kedah, Helang Merah

Artikel Sebelum

Artikel Lain