SEPANG: Selepas menamatkan latihan tertutup selama 10 hari di Stadium Juara baru-baru ini, Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen berharap skuad negara akan dapat permulaan yang baik pada kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber. Kejohanan Piala Thomas dan Piala Uber akan berlangsung dari 15 hingga 22 Mei ini di Kushan, China. "Saya berharap untuk permulaan yang baik. Setiap pemain adalah bebas daripada kecederaan. Kami memang menanti kehadirannya (Piala Thomas dan Uber). Kami telah bercakap mengenainya buat sekian lama dan masanya telah tiba, kata Frost ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas ke Kushan, di sini, Rabu. Frost berkata latihan tertutup 10 hari itu menggabungkan pelbagai aspek dan beliau gembira dengan hasilnya. "Pemain dapat menyesuaikan diri mereka dengan baik dengan rejim latihan ...kami melakukan latihan gelanggang dan juga latihan fizikal," katanya.. Mengimbau kembali zaman beliau sebagai pemain, Frost berkata setiap pemain yang bertanding dalam sesuatu kejuaraan akan datang dengan satu iltizam untuk memberikan persembahan terbaik mereka. "Saya teringat semasa saya bermain di Piala Thomas ... apabila sampai di Kuala Lumpur atau Jakarta atau di mana sahaja, setiap orang akan menanyakan saya latihan apa yang dilakukan atau apa yang dijangkakan? Saya selalunya akan berkata saya tidak pernah datang untuk kalah ... jadi kami semua datang untuk melakukan yang terbaik, " kata Frost. Skuad Piala Thomas Malaysia terdiri daripada Datuk Lee Chong Wei (ketua pasukan), Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Chong Wei Feng dan Goh Soon Huat dengan beregu Goh V Shem/Tan Wee Kiong, Kien Keat/ Boon Heong serta Teo Ee Yi/Ong Yew Sin. Skuad Piala Uber negara pula terdiri daripada Goh Liu Ying (ketua pasukan), Tee Jing Yi, Goh Jin Wei, Ho Yen Mei, Sonia Cheah, Vivian Hoo/Woon Khe Wei, Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean dan Amelia Anscelly. Untuk rekod, Malaysia muncul naib juara selepas tewas kepada Jepun dalam perlawanan akhir Piala Thomas 2014 di New Delhi, India. Kali terakhir skuad negara menjulang Piala Thomas pada tahun 1992 di Kuala Lumpur, manakala pasukan wanita tidak pernah memenangi Piala Uber.