KUALA LUMPUR: Teka-teki mengenai pengganti bekas pengendali Kelantan K Devan akhirnya terjawab apabila bekas jurulatih kebangsaan Maldives, Velizar Emilov Popov dilantik untuk menggalas tanggungjawab itu berkuatkuasa pada Khamis. Pelantikan Popov diumumkan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa dalam satu sidang media di sini petang Khamis. Menurut Annuar, pemilihan Popov dibuat selepas mengambil kira pengalaman luas beliau dalam arena bola sepak Asia. "Pada pendapat saya pengalaman Popov mengendalikan pasukan diluar negara dan Asean yang cukup lama misalnya di Thailand diyakini dapat membantu mengembalikan prestasi Kelantan pada tahap terbaik di akhir musim," katanya dalam sidang media di Menara Majlis Amanah Rakyat (Mara) pada Khamis. Popov, dari Bulgaria pernah membimbing kelab di Maldives, New Radiant FC pada 2012-2013 dan dianugerahkan jurulatih terbaik hasil pencapaian luar biasa. Jurulatih berusia 40 tahun itu berjaya memastikan New Radiant menjuarai liga tanpa kalah pada musim tersebut sekali gus mencatat sejarah baharu kelab berkenaan. Selain itu Annuar berkata dengan pelantikan Popov, sasaran Kelantan untuk menduduki kelompok empat pasukan terbaik dan mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini dapat direalisasikan. "Sasaran kita tetap sama, kita harap dengan pengalamannya dapat memacu Kelantan berada dalam pasukan empat terbaik dan sekurang-kurangnya ke separuh akhir Piala Malaysia," katanya. Annuar berkata Popov akan mengikat kontrak selama setahun bersama skuad Kijang itu. "Buat masa ini, kontrak pertama setahun tetapi kita beri peluang, kontrak lebih bersifat fleksibel. Kita akan tengok dulu pretasi beliau dan saya mahukan kontrak yang lebih panjang," katanya. Sementara itu, Popov berkata beliau akan melakukan yang terbaik untuk membantu Kelantan mengulangi kemuncak kejayaan lalu pada 2012. "Saya akan menggunakan pengalaman yang ada untuk memulihkan kembali prestasi pemain. Saya akan terus sentiasa berjuang untuk mencapai kejayaan maksimum pasukan ini," katanya. Walaupun mengakui cabaran pasti sukar kerana mengambil alih jawatan tersebut di pertengahan musim, Popov menegaskan beliau sudah bersedia untuk membentuk sebuah pasukan mantap dan percaya tiada apa yang mustahil. Pada masa sama, beliau bersedia menghadapi tekanan daripada penyokong Kelantan yang sentiasa inginkan yang terbaik untuk pasukan. "Ya sudah pasti saya sedia. Kalau tak saya tak akan berada di sini. Saya tidak gentar dan sedia ambil risiko," katanya. Pada Rabu, Devan menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Kafa atas sebab peribadi pada Rabu. Difahamkan ketua jurulatih berusia 55 tahun itu berhadapan dalam keadaan sukar untuk memulihkan prestasi terumbang ambing skuad Kelantan ketika ini. Lebih memburukkan keadaan, Kelantan kini menduduki tangga keenam Liga Super dengan mengutip 12 mata daripada 10 perlawanan.