KUALA LUMPUR: Pemilik dan pemegang saham majoriti kelab Itali FC Bari 1908, Datuk Dr Noordin Ahmad merancang untuk membawa tiga pemain muda terbaik Kelantan menimba pengalaman di akademi pasukan itu. Menurut beliau, rancangan itu adalah satu usaha melalui kerjasama yang dijalinkan antara Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan FC Bari 1908. "Saya bayangkan kita akan pilih tiga pemain terbaik Kelantan, beri peluang kepada mereka untuk berlatih bersama Bari FC," katanya pada sidang media mengumumkan kerjasama antara Bari FC dan Kafa di sini Khamis. Beliau berkata proses pemilihan tiga pemain itu akan dilakukan setiap tahun untuk membantu pembangunan pemain di negeri tersebut. "Saya sambut baik dan seronok dengan kerjasama ini. Kita ada bincang beberapa idea yang akan dilaksanakan nanti," katanya. Sementara itu, Presiden Kafa Tan Sri Annuar Musa menyifatkan kerjasama tersebut unik dan istimewa memandangkan beliau dan Noordin mengenali antara satu sama lain sejak berusia 12 tahun. "Kami dah kenal lama, dulu sama-sama main ragbi, kami tak main bola. Kami tak pernah berhubung sehinggalah dipertemukan semula melalui bola sepak. "Saya dalam bidang politik dan Noordin pula seorang ahli perniagaan. Kerjasama ini lebih bermakna dalam konteks pembangunan bola sepak di peringkat akademi," katanya. Anwar berkata antara aspek yang diberi penekanan adalah bantuan teknikal, kecergasan, pembangunan kejurulatihan dan juga pemain muda. "Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Dr Noordin. Kerjasama ini satu permulaan yang baik kepada pembangunan bola sepak remaja Kelantan," katanya. Bagi Presiden FC Bari 1908, Gianluca Paparesta kerjasama itu akan dimulakan dengan penubuhan sebuah akademi pemain muda yang bertujuan merapatkan hubungan Malaysia dan Eropah menerusi bola sepak. Malah, katanya akademi itu ditubuhkan bagi melatih dan menyediakan platfrom kepada pemain muda untuk beraksi di peringkat antarabangsa. Paparesta berkata menerusi kerjasama itu kedua-dua pasukan tersebut turut merancang untuk mengadakan aksi perlawanan persahabatan di Itali dan Malaysia pada hujung tahun ini.