PENGURUS Arsenal, Arsene Wenger masih belum memutuskan mengenai masa depannya dengan kontrak beliau di Emirates akan tamat pada hujung musim depan. Pada masa sama, pengurus kelahiran Perancis itu menafikan laporan media Britain bahawa beliau ditawarkan kontrak baharu oleh The Gunners. Menurut laporan The Times pada Jumaat, pemegang saham majoriti Arsenal, Stan Kroenke menawarkan Wenger kontrak lanjutan selama dua tahun kepada Wenger. Namun, Wenger menafikan perkara tersebut. "Saya tidak tahu dari mana datangnya maklumat itu, mungkin ia sengaja direka cerita," kata Wenger pada sidang media menjelang pertembungan dengan Aston Villa pada Ahad ini. Pengurus berusia 66 tahun itu yang menyertai kelab yang berpangkalan di utara London itu pada 1996 menegaskan beliau akan komited dalam menjalankan tugasnya selagi diberi kepercayaan untuk mengemudi pasukan tersebut. "Saya akan lihat pendirian kelab. Tapi saya masih belum putuskan masa depan saya," katanya.