suria

Piala FA: PKNS Intai Peluang Lakar Kejutan

Elavarasan

SHAH ALAM: Selera pasukan Liga Perdana, PKNS FC kian besar, dengan kali ini mahu menjadikan Johor Darul Ta'zim (JDT) sebagai mangsa terakhir untuk melengkapkan skrip indah di final Piala FA di Stadium Shah Alam, malam esok.

Selepas menewaskan beberapa pasukan Liga Super seperti Terengganu FA, Felda United dan Perak dalam laluan ke final, pastinya kemenangan di halangan terakhir akan melengkapkan musim cemerlang dalam kempen Piala FA mereka.

Ketua jurulatih PKNS FC E. Elavarasan menegaskan tiada yang mustahil untuk dilakar oleh skuad Semut Merah itu walaupun bakal turun selaku pasukan 'underdog' di final nanti.

"Kami sedar JDT adalah satu pasukan kuat secara menyeluruh tetapi pemain saya sudah bersedia dan tidak sabar menghadapi final ini.

"Pengurusan pasukan juga teruja kerana PKNS FC berpeluang menjadi pasukan pertama berstatus kelab yang menjuarai Piala FA, sesuatu yang tidak pernah dilakukan mana-mana kelab sebelum ini," kata Elavarasan pada sidang media pra-perlawanan di sini, Jumaat.

Sebelum ini, dua pasukan kelab - Sime Darby FC dan Felda United pernah mara ke final Piala FA, masing-masing pada 2012 dan 2014 tetapi tewas kepada Kelantan dan Pahang.

Sementara itu, ketua jurulatih JDT Mario Gomez mahukan kemenangan walaupun pasukan tersebut akan turun tanpa pemain tengah, Muhammad Fazly Mazlan yang cedera dan tempatnya akan diisi Jasazrin Jamaluddin.

"Kami ke mari untuk menang kerana bagi saya semua perlawanan adalah penting.

Pada masa sama, semua pasukan yang ditentang dalam Piala FA adalah lawan yang sukar.

"Saya harap keadaan padang adalah baik untuk perlawanan malam esok," kata warga Argentina berusia 59 tahun yang turut berharap keputusan perlawanan itu akan ditentukan dalam waktu 90 minit permainan.

JDT muncul naib juara Piala FA pada 2013 setelah tewas 0-1 kepada Kelantan di final di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pasukan dari selatan tanah air itu pernah muncul juara Piala FA pada 1998 yang ketika itu dikenali sebagai Johor FA (kini dikenali sebagai JDT II).

Artikel Berikut

Artikel Lain