suria

Kedah Bakal Uji Penyerang Dari Columbia, Ganti Kahe

KFA dilapor tidak akan melanjutkan kontrak Kahe yang akan tamat pada Jun ini.

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) dilapor bakal mendapatkan khidmat penyerang dari Columbia pada jendela permindahan pemain Jun ini.

Seorang pegawai kanan KFA yang enggan dikenali mendedahkan, penyerang baharu itu akan dibawa bagi menggantikan Carlos Eduardo De Souza atau lebih dikenali sebagai Kahe.

Kahe akan menamatkan kontraknya selama enam bulan bersama Kedah pada Jun ini selepas menandatangani kontrak pada Januari lalu.

Bagaimanapun jelasnya, pemain baharu itu perlu menjalani ujian bersama skuad Helang Merah sebelum diikat oleh KFA.

Menurut pegawai kanan itu, pemain tersebut akan dibawa ke Alor Setar selepas mendapat 'lampu hijau' daripada jawatankuasa tertinggi KFA.

"Kami sudah kenal pasti penyerang dari Columbia untuk menggantikan Kahe, tapi perlu menunggu 'lampu hijau' dari jawatankuasa tertinggi untuk menguji pemain berkenaan.

"Jika penyerang ini mampu menyelesaikan masalah penyudah yang dihadapi pasukan Kedah dan diterima oleh Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe barulah KFA akan mengikat kontrak.

"Usaha mencari dan membawa penyerang baru yang sesuai dibuat bagi menyelesaikan masalah pasukan kita yang masih lemah di bahagian penyudah," katanya kepada mStar Online.

Pegawai kanan itu berkata, KFA terpaksa menggugurkan Kahe selepas dia tidak dapat memenuhi kehendak pasukan sebagai penjaring gol walaupun terdapat usaha daripadanya ketika Kedah menghasilkan jaringan.

"KFA tidak ada pilihan lain kecuali berusaha mendapatkan seorang penyerang berkemampuan menyelesaikan masalah penyudah bagi memastikan perjuangan dalam Liga Malaysia akan terus sengit.

"Masalah penyudah Kedah bukan sahaja menghampakan penyokong dan barisan kepimpinan KFA tetapi turut meletakkan pasukan ini di kedudukan  ketujuh Liga Super.

"Oleh itu sudah tiba masanya iaitu pada jendela pemindahan pemain kali ini untuk kita menukar penyerang import yang ada," ujarnya.

Tambahnya, sekiranya penyerang berkenaan gagal memikat hati Cheng Hoe, pemain lain akan dibawa untuk diuji.

"Bukan seorang sahaja pemain akan diuji tetapi jika penyerang Colombia ini gagal kita akan bawa pemain lain.

"Kita akan cari pemain yang bermutu untuk meneruskan saingan Liga Malaysia musim ini dan membawa kejayaan untuk Kedah," kata pegawai kanan tersebut.

Kedah, Helang Merah, Columbia

Artikel Lain