WAYNE Rooney mengakui Manchester United tidak layak beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim depan. Rooney mendakwa, ini kerana United hanya mampu menjaringkan 49 gol sepanjang musim ini untuk menjadikan ia rekod terburuk kelab sejak 1990. Berikutan kekurangan gol yang ketara juga, United gagal bersaing dengan Manchester City yang berada di kedudukan keempat. "Ya memang menyeksakan apabila tidak layak ke UCL. Tetapi kami tidak menjaringkan gol yang cukup pada musim ini. Itu sahaja gol kami selepas 38 perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris. "Kami menamatkan liga setakat mampu. Kami tidak cukup baik untuk berada di kedudukan keempat, banyak lagi perlu diperbaiki pada musim depan," katanya. Berikutan kegagalan itu, pelbagai pihak mahukan Louis Van Gaal meninggalkan United pada musim ini kerana kelab itu perlukan pemulihan pantas bagi menghadapi musim depan.