suria

Peminat Setia Tunggu Chong Wei Setiap Hari

Datuk Lee Chong Wei memenuhi permintaan peminat untuk mendapatkan tandatangannya selepas sesi latihan di Pusat Sukan Kunshan. 
-fotoBERNAMA
KUNSHAN: Sejak mengetahui ketibaan skuad Malaysia yang diketuai Datuk Lee Chong Wei menjejak kaki di Kunshan, China bagi mengharungi saingan Piala Thomas, Yang Chen tidak jemu menanti di luar gelanggang latihan bagi mencuba nasib untuk berdepan jaguh badminton itu.

Yang Chen, 21, pelajar tahun akhir di Suzhou Industrial Park Service Outsourcing Career Academy, berkata beliau sangat teruja apabila mendengar pemain yang berada di ranking kedua dunia itu akan beraksi pada kejohanan kali ini.

Ditanya apa yang menarik tentang Chong Wei, Yang Chen berkata semangat juang dan disiplin tinggi pemain berusia 33 tahun itu memberi inspirasi kepada beliau untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang.

"Saya mula mengagumi Chong Wei sejak 2013, apabila melihat beliau cedera tetap masih mahu bermain.

"Walaupun pernah cedera dan dilanda kontroversi sehingga tidak dapat menyertai banyak kejohanan, Chong Wei tetap bertahan dan akhirnya kembali berada di ranking ke sepuluh teratas," katanya ketika ditemui baru-baru ini.


Lebih istimewa, anak muda itu menyediakan sehelai jersi badminton yang direka khas dengan kata-kata semangat untuk Chong Wei yang akan beraksi pada temasya Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil pada Ogos nanti.

"Dare to be a Champion Lee C W. Let's Go Datuk Lee," bunyi slogan yang tertera pada jersi berwarna kuning hitam yang direka khas.

Yang Chen ditemui bersama sekumpulan peminat sukan badminton yang menunggu skuad Piala Thomas Malaysia selesai menjalani latihan di gelanggang latihan yang terletak berhampiran dengan venue pertandingan, baru-baru ini.

Sejurus sahaja terlihat pemain negara melepasi kawalan keselamatan pada pukul 1 tengah hari, sekumpulan peminat yang terdiri daripada rakyat Republik China yang menanti sejak pukul 10 pagi, menyerbu sambil bersorak menyebut nama Chong Wei.

"Saya sudah dapat tandatangan Chong Wei pada hari pertama selepas beliau beraksi menentang England, tapi tetap tidak mahu melepaskan peluang bertemu secara dekat dengan jaguh itu," katanya, yang setiap hari menanti di luar gelanggang latihan.

Katanya kalau bernasib baik akan dapat bertemu dan bersalam-salaman dengan Chong Wei, kalau kurang bernasib baik, Yang Chen dan peminat lain akan menunggu setiap hari untuk tujuan itu.

Sementara itu, seorang sukarelawan yang bertugas sepanjang kejohanan berprestij ini berlangsung, Tony Wen, berkata rakyat di China sangat meminati pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu kerana kerap bertembung dengan pemain handalan mereka Lin Dan, namun sering mengalami kekalahan.

"Orang di China juga kagum dengan semangat Chong Wei yang sentiasa berusaha untuk mengalahkan Lin Dan setiap kali mereka bertemu. Chong Wei memang sangat dekat di hati orang China," katanya yang boleh berbahasa Melayu.

Wen, yang turut berkhidmat sebagai jurubahasa pada sesi sidang media, berkata beliau sangat teruja apabila pertama kali duduk di sebelah Chong Wei dalam sesi sidang media.


"Cuma saya menghadapi kesukaran apabila Chong Wei bercakap bahasa Melayu dengan agak laju," katanya.

Sepanjang Chong Wei turun beraksi, pemain perseorangan pertama negara itu sentiasa mendapat sorakan gemuruh dan kata-kata semangat daripada penonton di Pusat Sukan Kunshan yang selalu ternanti-nanti akan kemunculan bekas pemain nombor satu dunia itu di gelanggang pertandingan.

Bagaimanapun, skuad negara telah menamatkan misi di Piala Thomas apabila tewas 2-3 kepada Denmark pada perlawanan separuh akhir, semalam.

Artikel Lain