AKHIRNYA Manchester United melakukan sesuatu yang selama ini enggan mereka lakukan iaitu memecat Louis van Gaal sebagai pengurus - dua hari selepas dia membawa pulang ke Old Trafford trofi pertama selepas era Sir Alex Ferguson iaitu Piala FA Inggeris menewaskan Crystal Palace 2-1. Namun kejayaan tersebut tidak memadai untuk Van Gaal mengekalkan jawatannya yang tinggal semusim saja lagi untuk diteruskan sebagaimana yang tertera dalam kontraknya ketika menyertai United dua musim yang lalu. United berhadapan dengan tekanan yang besar terutamanya daripada media-media massa Britain yang mendesak supaya Van Gaal dipecat seberapa segera yang boleh. Bagi mereka, status United bukan lagi bermain dalam final Piala FA tetapi bersaing dengan Barcelona, Real Madrid, Bayern Munich, Atletico Madrid, Juventus dan juga PSG dalam Liga Juara-Juara Eropah. Jangan kata Piala FA, sebenarnya bersaing dalam Liga Europa yang dahulunya dikenali dengan nama Piala Uefa juga dianggap satu kegagalan oleh media Britain bagi kelab sebesar Manchester United ini. Malangnya, inilah yang gagal dilakukan Van Gaal. United terlepas bersaing dalam Liga Juara-Juara musim depan kerana mereka hanya mampu mengakhiri persaingan liga di tempat kelima. United di bawah Van Gaal juga mencatatkan rekod jaringan gol terendah dalam liga dalam tempoh 26 tahun iaitu cuma 49 gol sahaja. Falsafah defensif dalam teknik permainan yang diterapkan Van Gaal tidak popular dengan gaya bola sepak yang dibawa oleh Sir Alex Ferguson dengan konsep 'menyerang' di kalangan penonton dan penyokong tegar pasukan itu. Oleh hal yang demikian, kejayaan Van Gaal membawa pulang trofi setua Piala FA (Piala FA adalah kejohanan kalah mati yang tertua di dunia) tidak membawa apa-apa makna kepada media-media massa Britain sama sekali. Tetapi untuk memecat Van Gaal, bukanlah semudah yang disangka. United perlu berputih mata dengan membayar pampasan sehingga £5 juta kepadanya disamping bayaran bonus sebanyak £400,000 lagi kerana memenangi Piala FA. Berpisah dengan Van Gaal juga bermakna United perlu menamatkan khidmat barisan staf kejurulatihannya iaitu Albert Stuivenberg dan Frans Hoek. Hoek adalah jurulatih penjaga gol yang menurut media massa Britain, konsep latihannya tidak digemari oleh David de Gea. Stuivenberg (tiga kiri), Hoek (kedua kiri), Van Gaal (tiga dr kanan), Giggs (kedua kanan) dan Reckers (kiri). Sehari sebelum final Piala FA, media massa melaporkan yang de Gea mengancam untuk memohon perpindahan secara rasmi jika Van Gaal tidak diganti menjelang musim baru nanti. Max Reckers, pakar analisa video dan permainan yang juga merupakan orang yang paling dibenci oleh sebahagian besar pemain kerana menganalisa dan menonjolkan kesilapan mereka turut ditunjukkan pintu keluar.Bagaimanapun drama pemecatan Van Gaal bermula sebaik fajar Isnin menyinsing. Timbalan Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward tiba di ibu pejabat kelab itu di Carrington seawal pukul 8 pagi untuk bertemu Van Gaal. Pada pukul 8.45 pagi Van Gaal pula tiba. Dalam pertemuan itu, yang turut dihadiri oleh kesemua anggota kejurulatihannya, Woodward berterus terang dengan Van Gaal yang dia tidak lagi akan memimpin United musim depan dan memaklumkan yang mereka akan melantik anak didiknya Jose Mourinho sebagai penganti. Mourinho adalah penolong kepada Van Gaal ketika di Barcelona pada musim 1997-99. Dia dipecat oleh Chelsea selepas kelab itu tewas untuk kali ke sembilan Disember lalu - iaitu keputusan terburuk sepanjang kariernya yang gemilang. United hanya akan bertemu dengan Mourinho secara rasmi pada Selasa selepas segala urusan pampasan dan penamatan kontrak Van Gaal selesai. Apa yang mengesahkan tentang pemecatan Van Gaal ialah kehadiran peguam yang mewakili Persatuan Pengurus-Pengurus Liga, Paul Gilroy di perkarangan Carrington. Dia pada mulanya tidak dibenarkan masuk ke kawasan ibu pejabat United itu sejam kemudian diberi lampu hijau. Gilroy bukan sahaja berada di samping David Moyes ketika dia dipecat oleh United dulu malah turut menasihati Roy Hodgson dan Brendan Rodgers ketika mereka berada dalam situasi yang sama seperti Van Gaal. Dia juga pernah menjadi peguam kepada Sir Alex Ferguson ketika bekas pengurus United itu membuat keputusan untuk bersara. Sementara itu ada laporan yang mengatakan Mourinho bakal menandatangani kontrak lima tahun tetapi dia lebih dikenali sebagai pengurus yang enggan berada di satu kelab lebih dari tiga tahun. Kini semua dah tahu yang Van Gaal tidak lagi mengurus United. Penggantinya ialah Mourinho tetapi siapakah yang akan ikut serta bersamanya? Bagaimana pula dengan nasib Ryan Giggs yang selama dua musim ini adalah penolong kepada Van Gaal. Rui Faria dan jurulatih penjaga gol Silvino Louro sentiasa berada di mana Muorinho berada. Jadi kedatangan mereka secara pakej bersama Muorinho adalah dijangkakan. Cuma nasib Ryan Giggs sahaja yang belum tentu. Memandangkan Mourinho mempunyai tabiat mengurus sebuah kelab untuk tempoh masa tiga tahun sahaja, United sudah pastinya mahu Giggs terus kekal bersama mereka dengan harapan tempoh masa tersebut memadai untuk menjadikannya seorang pemimpin yang matang dan sekaligus muncul sebagai memimpin kelab itu dari kalangan mereka sendiri. REKOD VAN GAAL BERSAMA MANCHESTER UNITED: > Permainan: 103 > Menang: 54 > Seri: 25 > Tewas: 24 > Gol: 158 > Gol Bolos: 98 > Peratusan Kemenangan: 52.4%