PELANTIKAN Jose Mourinho sebagai pengurus baharu Manchester United terpaksa ditangguhkan disebabkan konflik kepentingan melibatkan beberapa perjanjian penajaan peribadi bekas pengurus Chelsea itu dengan rakan kongsi komersial Red Devils. Peguam kedua-dua pihak menemui jalan buntu dalam rundingan mengenai beberapa isu hak iklan terutamanya perjanjian Mourinho dengan pengeluar kereta Jaguar, penaja jam tangan dan juga pusat peranginan kasino. United mempunyai perjanjian penajaan jersi dengan Chevrolet selama tujuh tahun bernilai 357 juta pound dan berminat menyelesaikan sebarang konflik kepentingan pengurusan kewangan Mourinho dengan Jaguar. Mourinho juga mempunyai perjanjian penajaan dengan Hublot, pembuat jam tangan Switzerland yang pernah menjadi penaja United. Namun United masih mempunyai perjanjian dengan Bulova, sebuah syarikat pengeluar jam tangan dari Amerika. United juga mempunyai kontrak penajaan dengan Donaco International, sebuah pengendali pusat peranginan kasino dan percutian di Korea Selatan serta beberapa negara lain seperti Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos dan Myanmar. Mourinho pula masih mempunyai perjanjian dengan Paradise Co, sebuah pengendali kasino dari Korea Selatan. Nama Mourinho masih lagi merupakan 'tanda dagangan' Chelsea menurut Pejabat Harta Intelek Kesatuan Eropah. Meskipun isu ini timbul, usaha sedang dilakukan kedua-dua pihak untuk menyelesaikan pertikaian tersebut bagi membolehkan Mourinho memulakan tugasnya di Old Trafford. Masih ada keyakinan di kalangan pihak pengurusan United untuk memastikan Mourinho dilantik sebagai pengendali pasukan itu dalam masa terdekat. Malah, pengurusan kanan Red Devils yang pada awalnya berhasrat untuk mengeluarkan kenyataan pada Rabu bagaimanapun percaya pengumuman berhubung perkara itu dapat dilakukan dalam minggu ini.