JOSE Mourinho dijangka akan diumumkan sebagai pengurus baharu Manchester United pada Khamis. Bekas pengendali Chelsea, Porto, Real Madrid dan Inter Milan itu dijangka akan menandatangani kontrak tiga tahun bernilai £45 juta (RM279 juta). Menurut laporan Sportsmail, persetujuan Mourinho dan United dicapai selepas isu hak penajaan peribadi bersama Chelsea diselesaikan. Pelantikan Mourinho,53, sebagai pengurus baharu di Old Trafford menjadi perhatian selepas Louis van Gaal dipecat, dua hari selepas menjulang Piala FA. Pada Isnin, stesen radio di kelab itu sepi sehingga pukul 8.31 malam setelah kelab mengesahkan pengurus dari Belanda berusia 64 itu dipecat. Difahamkan juga, Van Gaal telah meminta pengurusan United untuk membuat pengumuman mengenai jurulatih baharu sebaik sahaja dia meninggalkan negara itu. Permintaan Van Gaal itu diterima kelab, malah sebagai penghormatan, United turut menguruskan jet peribadi untuk pulang dan dan bercuti di Algarve bersama isterinya, Truus.