suria

Terbuka Hong Kong: Yuen, Nafiizwan Layak Ke Separuh Akhir

Mohd Nafiizwan layak ke separuh akhir pada Jumaat.

KUALA LUMPUR: Dua pemain negara Ivan Yuen dan Mohd Nafiizwan Adnan layak ke separuh akhir Kejohanan Skuasy Antarabangsa Hong Kong Football Club (HKFC) di Hong Kong, Jumaat.

Dalam saingan suku akhir pada Khamis, Yuen menewaskan pemain Australia, Rex Hendrik, 11-8, 11-9, 6-11, 8-11 dan 11-4 dalam pertarungan selama 89 minit.

Dalam aksi separuh akhir, Yuen akan menentang pemain pilihan kelima, Paul Coll selepas pemain New Zealand itu mengejutkan pemain pilihan keempat, Adrian Waller dari England 11-5, 11-9, 8-11 dan 11-3.

Dalam pada itu, Mohd Nafiizwan dengan mudah melangkah ke separuh akhir selepas membenam pemain Mesir, Mazen Gamal 11-7, 11-0 dan 11-5 untuk bertemu pemain pilihan kedua, Leo Au dari Hong Kong.

Leo pula menempah tiket separuh akhir selepas menundukkan pemain Mesir, Mohamed Reda 11-13, 11-8, 4-11, 11-9 dan 11-2.

Sementara itu, dalam acara wanita, pemain tunggal negara, Delia Arnold, selaku pemain pilihan keempat, gagal ke separuh akhir selepas kalah mengejut di tangan pemain Australia dan juga pilihan kelapan, Donna Urquhart dengan keputusan 6-11, 7-11, 13-11, 10-12. -Bernama

Skuasy Terbuka Hong Kong

Artikel Lain