BINTANG Chelsea, Eden Hazard mengesahkan bahawa dia akan kekal di Stamford Bridge walaupun terdapat spekulasi mengenai pemindahannya. Pemain Belgium itu melalui detik sukar pada musim ini selepas Chelsea hanya mampu menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di kedudukan ke-10. Hazard sebelum ini dilapor akan berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG) atau Real Madrid ketika jurulatih yang bertanggungjawab menggilapnya dilantik menguruskan Manchester United (Jose Mourinho). Pemain berusia 25 tahun itu berkata, dia tidak memikirkan tentang pemindahan kerana mahu memberi perhatian terhadap saingan Euro ketika ini. "Saya ingin memberitahu kamu bahawa 100 peratus saya akan kekal di Chelsea pada musim depan. "Begitu juga Thibaut (Courtois), kami akan berada di Chelsea untuk beraksi dengan lebih baik," jelasnya.