suria

Pemain Columbia, Bosnia Tiba Di Alor Setar Awal Jun - Pengurus Kedah

SEORANG penyerang dari Columbia dan dua pemain kelab Bosnia Herzergorvina akan tiba di Alor Setar pada awal Jun depan untuk menjalani sesi pemilihan pemain baharu Kedah, kata Pengurus skuad Helang Merah, Datuk Jeffrey Low Han Chow.

Menurutnya, selain tiga pemain tersebut Kedah akan turut menguji pemain lain bagi mendapatkan tonggak import terbaik dalam mengharungi Liga Malaysia musim ini.

Jelas beliau, tiga pemain tersebut yang telah diteliti kemampuan mereka telah dipanggil oleh Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk diuji oleh Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe.

"Kami tidak mahu kesilapan lalu berulang, mana-mana penyerang dari luar negara yang ingin menyertai Kedah ketika jendela perpindahan Jun ini perlu hadir sesi pemilihan oleh Cheng Hoe.

"Bagi memastikan kita mendapat pemain yang benar-benar mampu  mengatasi masalah penyudah, KFA akan turut menguji pemain lain.

"Kecederaan yang dialami Sandro Da Silva agak rumit dan kemungkinan besar kesakitan itu akan kembali menghantuinya. Kami tidak mahu mengambil risiko kehilangan seorang pemain import ketika Liga Malaysia bersambung kembali dengan lebih sengit," katanya kepada mStar Online.

Jeffreymenambah, segala usaha untuk memantapkan pasukan dilakukan bagi memastikan Kedah mendapat tempat terbaik dalam saingan Liga Super dan bersaing membawa pulang Piala Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya menghargai sumbangan Da Silva yang membantu Kedah menjuarai Liga Super dan beraksi di final Piala Malaysia musim lepas.

"Sumbangan Sandro amat dihargai dan jasanya bersama kita tidak akan dilupakan tetapi demi masa depan dan kejayaan Kedah, kita perlu memastikan hanya yang terbaik akan berada di atas padang.

"Kita perlu contohi pasukan lain yang mempunyai penyerang terbaik dengan mengutamakan saingan Liga Malaysia dalam membuat pemilihan pemain.

"Oleh itu, saya berharap Kedah juga akan mendapat penyerang terbaik untuk membantu pemain lain dalam menghasilkan lebih banyak gol dan kemenangan," jelasnya.

Beliau memberitahu, kemenangan yang diusahakan bukan sahaja untuk pasukan tetapi ribuan penyokong yang sentiasa memberi sokongan padu.

Katanya, penyokong merupakan kekuatan pasukan selain pemain yang beraksi di atas padang dan jurulatih yang membuat perancangan membentuk skuad Kedah.

Kedah, Hijau Kuning

Artikel Lain