suria

Jing Yi Bakal Terlepas Peluang Beraksi Di Olimpik

Tee Jing Yi.

KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan wanita negara Tee Jing Yi terpaksa membayar harga yang mahal akibat kecederaan buku lalinya apabila bakal terlepas peluang beraksi di Sukan Olimpik, Ogos nanti.

Seandainya kecederaan yang dialaminya sewaktu final Sirkit Kebangsaan Pertama di Stadium Juara Bukit Kiara, Sabtu lepas gagal pulih, nama Jing Yi terpaksa diketepikan biarpun sudah layak secara merit.

Sebaliknya, juara remaja dunia, Goh Jin Wei yang juga pemain kedua terbaik negara dalam ranking dunia, berpeluang mengisi tempat Jing Yi.

Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid bagaimanapun menegaskan pihaknya belum membuat sebarang keputusan kerana masih menunggu laporan penuh tahap kecederaan Jing Yi yang kini berada di ranking ke-29 dunia itu.

"Sekiranya kecederaan Jing Yi itu berpanjangan, tempatnya mungkin diganti pemain yang sedang meningkat naik, Goh Jin Wei.

"BAM telah membawa perkara ini kepada Jawatankuasa Pemilihan MOM dan jika Jing Yi masih belum pulih...jika kita dapat keputusan yang beliau betul-betul cedera, baharu kita dibenarkan meletakkan pengganti.

"Terlalu awal untuk membuat keputusan, kita tidak tahu kecederaanya itu berpanjangan ataupun boleh sembuh secepat mungkin. Kalau mengikutkan ranking, Jin Wei paling dekat (ranking ke-59)," katanya.

Selain Jing Yi, pemain badminton negara yang layak secara merit ke Sukan Olimpik ialah jaguh perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei, beregu lelaki Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) dan Vivian Hoo-Woon Khe Wei (beregu wanita).

Jing Yi terpaksa menarik diri daripada meneruskan aksi di pentas akhir Sirkit Kebangsaan Pertama di Stadium Juara Bukit Kiara akibat kecederaan buku lali kanan, sekali gus menyerahkan kemenangan kepada Jin Wei.

Sukan Olimpik Rio de Janeiro adalah penampilan kedua Jing Yi di temasya paling besar di dunia itu selepas kali pertama beraksi di London pada 2012. - BERNAMA

Sukan Olimpik, BAM, Tee Jing Yi

Artikel Lain