suria

Rashford Kekal Di Old Trafford Sehingga 2020

Marcus Rashford.

MANCHESTER United mengumumkan pemain bintangnya, Marcus Rashford telah menandatangani kontrak baharu yang menyaksikan beliau akan kekal di Old Trafford sehingga 2020.

Rashford, 18, melakukan penampilan pertamanya dalam skuad utama United ketika menentang Midtjylland pada aksi Liga Europa, Februari lalu.

Malah, beliau juga menjaringkan gol pada penampilan pertamanya pada saingan Liga Perdana Inggeris - dua gol ketika menewaskan Arsenal dan menjaringkan gol tunggal pada aksi menentang Manchester City.

Rashford dianggap sebagai bintang yang akan menyinar bersama skuad England apabila menjaringkan gol dalam perlawanan sulungnya ketika menentang Australia.

Ia membolehkan Rashford mengatasi rekod selama 78 tahun yang dicipta Tommy Lawton dan menjadi pemain termuda England yang menjaringkan gol untuk pasukan itu.

"Saya amat berbangga untuk menandatangani kontrak baharu. Saya sentiasa menjadi penyokong United, jadi beraksi bersama skuad utama ibarat impian menjadi kenyataan," katanya yang dipetik dalam laman web rasmi United.

Kontrak baharu itu menyaksikan Rashford kekal sehingga 2020 dengan pilihan selama setahun lagi.

Sementara itu, Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward menyifatkan Rashford sebagai pemain yang memiliki bakat semula jadi dan berpotensi besar.

"Beliau berjaya memanfaatkan peluang dan menyesuaikan diri bersama skuad utama dengan pantas,"kata Woodward.




Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain