suria

Kembali Ke Ranking No.1 Dunia, Chong Wei Enggan Dabik Dada

KUALA LUMPUR: Selepas melalui episod getir dalam kerjaya badminton, jaguh negara Datuk Lee Chong Wei kembali merampas gelaran pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia pada Khamis.  

Menurut laman web rasmi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, Chong Wei mendahului ranking dunia selepas memenangi Kejohanan BWF Siri Super Terbuka Indonesia, pada Ahad lepas.   

Chong Wei yang mengumpul 94,453 mata, mengatasi dua jagoan dari China, Cheng Long dan Lin Dan yang masing-masing meraih 88,944 dan 75,388 mata. 

"Sebenarnya saya tidak menjangka saya mampu untuk mendapatkan semula ranking nombor satu dunia. Selepas isu doping, saya hanya menyasarkan untuk berada dalam kedudukan empat terbaik sahaja.   

"Semestinya ia (kedudukan pemain nombor satu dunia) sesuatu yang akan memberi sokongan moral kepada saya," kata pemain berusia 33 tahun itu ketika dihubungi Bernama.  

Chong Wei ketika ini berada di Australia dan menjalani rutin fisioterapi bersama skuad badminton yang sedang menyertai Kejohanan BWF Siri Super Terbuka Australia, sebelum kembali ke sini untuk persiapan menghadapi Sukan Olimpik.   

"Sambil menjalani fisioterapi, saya mahu berehat sebentar daripada latihan di sini (Australia)," katanya.

Selepas dikenakan penggantungan selama lapan bulan kerana gagal ujian dopingpada Ogos 2014, beliau kembali beraksi di pentas antarabangsa di ranking ke-46 dunia pada Mei 2015.   

Chong Wei membantu pasukan badminton negara pada Piala Sudirman (10-17 Mei 2015), kejohanan badminton pertamanya, serta di Terbuka Amerika (16-21 Jun 2015) dan Kanada (23-28 Jun 2015), dan kedudukannya naik kepada ranking ke-44 dunia.   

Bagaimanapun pada 16 Ogos 2015, hasrat Chong Wei untuk meraih kejuaraandunia sekali lagi tidak berhasil selepas kalah kepada Chen Long pada perlawanan akhir Kejohanan Dunia di Jakarta, Indonesia dan prestasi beliau selepas itu turun mendadak dengan tersingkir awal pada Terbuka Jepun, Korea dan Denmark.

Namun beliau kembali gagah apabila memenangi Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Perancis (25 Okt 2015), gelaran Terbuka China (15 Nov 2015) buat pertama kali dan kemudian memenangi Terbuka Hong Kong (22 Nov 2015) hingga mampu berada di kedudukan kelima dunia setakat 17 Dis tahun lepas.

Tahun ini, Chong Wei terus gah melangkah dan memperbaiki ranking beliau selepas memenangi Masters Malaysia, Terbuka Malaysia, Kejohanan Badminton Asia dan Terbuka Indonesia.   

"Kejayaan saya menewaskan Lin Dan dan Cheng Long di gelanggang mereka sendiri di Terbuka China dan Kejohanan Badminton Asia juga memberi semangat. Saya dapat menilai kemampuan saya," katanya.   

Menurut Chong Wei, beliau tidak mahu mendabik dada dan leka dengan kejayaan merampas semula kedudukan selaku pemain nombor satu dunia sebaliknya mahu terus memberikan persembahan terbaik khususnya pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro pada Ogos ini.   

"Sebelum ini saya pernah berada di kedudukan nombor satu dunia untuk tempoh 199 minggu. Selepas isu doping, saya kena bekerja keras untuk memperbaiki kedudukan saya. Ia bukanlah sesuatu yang mudah.  

"Pada usia seperti ini, saya masih boleh memberikan saingan yang terbaik. Setiap kejayaan yang saya peroleh dalam setiap kejohanan memberi suntikan semangat kepada saya untuk terus berusaha," katanya.   

Mengenai persediaan ke Sukan Olimpik, Chong Wei berkata beliau akan menggunakan sepenuhnya tempoh lebih kurang dua bulan setengah ini untuk meningkatkan prestasinya.   

"Fokus latihan saya akan lebih kepada persiapan secara mental dan juga fizikal. Ini Sukan Olimpik terakhir saya, jadi saya mahu lebih bersedia,"katanya.   

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kerana memberi penghormatan kepadanya sebagai pembawa Jalur Gemilang untuk kontinjen negara pada majlis pembukaan rasmi Sukan Olimpik Rio de Janeiro.   

"Ini kali keempat saya menyertai Sukan Olimpik dan sebelum ini saya tidak pernah menghadiri majlis pembukaan kerana acara badminton selalu berlangsung selepas pembukaan rasmi.  

"Kali ini, acara badminton bermula pada 11 Ogos, jadi saya boleh merasaikemeriahan acara itu...ini Olimpik terakhir saya, jadi saya perlu pergi (kemajlis pembukaan). Rugilah kalau tidak pergi," kata Chong Wei.   

Chong Wei berkata beliau akan sedaya upaya berusaha untuk merealisasikan impian peribadinya untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik.   

"...dan ia bukan setakat impian saya seorang tetapi seluruh rakyat Malaysia...jadi saya harus membuat persediaan terbaik," katanya.   

Untuk rekod, Chong Wei pertama kali menyertai Sukan Olimpik pada 2004 di Athens, di mana beliau mengetepikan Ng Wei dari Hong Kong di pusingan pertama sebelum ditumpaskan oleh pemain China, Chen Hong di pusingan kedua.   

Pada penampilan berikutnya di Beijing 2008 dan London 2012, Chong Wei berjaya merangkul pingat perak selepas tewas kepada seteru tradisinya, Lin Dan dalam kedua-dua temasya Olimpik itu.  -Bernama

Lee Chong Wei

Artikel Lain