REAL Madrid dilapor bersedia untuk menawarkan pemain tengahnya, Isco kepada Juventus bagi mendapatkan Paul Pogba. President Real, Florentino Perez sebelum ini tidak berminat terhadap pemain Perancis itu, malah turut mengelak untuk bertemu ejennya Mino Raiola. Bagaimanapun apabila melihat Pogba bakal menjadi bintang paling menyinar dalam saingan Euro tahun ini, Real siap sedia untuk 'melamar' pemain berkenaan. Bagi mendapatkan Pogba, 23, yang dianggar bernilai £95 juta, Real perlu bersaing dengan kelab England seperti Manchester United dan Manchester City. Pertukaran yang ditawarkan Real kepada Juventus tidak merugikan kelab Itali berkenaan kerana Isco, 24, mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pogba. Isco menyertai Real dari Malaga dengan yuran pemindahan bernilai €24 juta pada 2013 tetapi aksinya agak merosot dibawah kendalian Rafael Benitez.