LYON: Finalis Euro 2012, Itali mengejutkan pasukan ranking kedua dunia, Belgium 2-0 pada perlawanan kedua Kumpulan E Euro 2016, di Stadium Grand Stade, awal pagi Selasa. Gol yang dijaringkan Emanuele Giaccherini dan Graziano Pelle memberikan tiga mata berharga buat Itali pada perlawanan yang menyaksikan pertembungan dua pasukan gergasi dalam kempen Euro kali ini. Kemenangan itu turut meletakkan juara dunia empat kali tersebut selaku pendahulu Kumpulan E selepas satu lagi pertembungan menyaksikan Republik Ireland seri 1-1 dengan Sweden. Itali membuka jaringan awal menerusi Giaccherini pada minit ke-32 yang berjaya mengawal bola sebelum rembatan kaki kirinya gagal ditampan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois. Pasukan bimbingan pengurus Antonio Conte itu terus melakukan asakan untuk menjaringkan gol kedua yang dijaringkan Pelle pada masa kecederaan. Kekalahan itu menyaksikan Belgium terus kempunan kemenangan pertama ke atas Itali dalam perlawanan kompetitif sejak 34 tahun lalu. Belgium yang diperkuat bintang ternama dunia termasuk kapten Eden Hazard, Romelu Lukaku dan pemain gantian seperti penyerang Liverpool, Divock Origi gagal menjinakkan jentera pertahanan Itali yang diketuai kapten Gianluigi Buffon. Barisan Pemain: ITALI: Buffon, Barzagli, Bonucci, Chiellini, Candreva, Parolo, De Rossi, Giaccherini, Darmian; Pellè, Eder. BELGIUM: Courtois, Ciman, Alderweireld, Vermaelen, Vertonghen, Witsel, Nainggolan, Fellaini, De Bruyne, Hazard, R. Lukaku.