DUNGA dipecat sebagai ketua jurulatih Brazil selepas pasukan itu tersingkir daripada saingan Copa America. Ketua jurulatih berusia 52 tahun itu yang mengetuai Brazil ketika menjulang trofi Piala Dunia pada 1994 dinamakan sebagai jurulatih skuad itu buat kali kedua pada 2014. Namun pasukan itu tersingkir pada peringkat kumpulan dalam aksi Copa America buat sejak pertama kalinya 1987 selepas tewas 0-1 kepada Peru di Massachusetts, Ahad lalu. Dunga pernah mengemudi pasukan itu dari 2006 hingga 2010 selepas membantu Brazil memenangi trofi Copa America pada 2007. Pengurus Corinthians, Tite kini menjadi calon pilihan untuk menggantikan kerusi yang ditinggalkan Dunga. Tite, 55, mengemudi Corinthians menjuarai saingan Serie A Brazil pada 2011 dan 2015 selain Copa Libertadores dan Piala Kelab Dunia pada 2012. Siapa sahaja yang menggantikan Dunga akan memimpin skuad bawah 23 tahun Brazil termasuk penyerang Barcelona, Neymar pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Ogos ini. Pengganti Dunga juga akan menerajui Brazil yang beraksi hambar pada saingan kelayakan Piala Dunia 2018 di Rusia selepas menduduki tangga keenam dalam kempen kelayakan pasukan dari Amerika Selatan.