suria

Empat Atlet Olahraga Sah Ke Poland, Sukma

Badrul (kiri) dan Khairul Hafiz.

KUALA LUMPUR: Majlis Sukan Negara (MSN) memutuskan untuk menghantar empat atlet olahraga remaja negara beraksi di Kejohanan Remaja Dunia di Bydgoszcz, Poland dan Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak.

Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata keputusan muktamad itu dicapai selepas mengadakan perbincangan terperinci dengan jurulatih dan atlet terbabit serta Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Beliau berkata semua jurulatih dan keempat-empat atlet terbabit bersetuju untuk mengambil bahagian di kedua-dua kejohanan itu, yang dirangka awal dalam program atlet olahraga berkenaan.

"Kita mengesahkan keempat-empat atlet olahraga remaja kita bersetuju menyertai Kejohanan Dunia IAAF di Poland dari 19 hingga 24 Julai dan seterusnya mereka akan kembali menyertai Sukma pada 26 hingga 29 Julai," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ISN Ahmad Zawawi Zakaria di MSN di sini, Selasa.

Empat atlet remaja terbabit - Badrul Hisyam Abdul Manap dan Khairul HafizJantan akan menyertai acara 100m dan 200m, Mohd Rizzua Haizad (110m berpagar)dan R Kirthana (lompat kijang).

Khairul Hafiz – pelari terpantas remaja Asia yang baru – dan Badrul Hisyam mengesahkan tiket ke Kejohanan Dunia itu pada Oktober tahun lepas dalam acara 100m dan 200m.

Sementara Kirthana meraih tiket ke Bydgoszcz setelah melakukan lompatan 13.20m untuk memenangi emas lompat kijang, manakala Mohd Rizzua pula layak setelah melakar catatan 14.00s untuk merangkul emas acara 110m lari berpagar.

Menyedari risiko bakal dihadapi keempat-empat atlet remaja berkenaan, Ahmad Shapawi berkata ISN dan KOM menyediakan jadual latihan dan penyertaan yang rapi termasuk menghantar atlet berkenaan lebih awal ke Poland untuk tujuan penyesuaian dengan keadaan cuaca, serta jadual kembali ke tanah air bagi menyertai Sukma.

"Kita cadangkan agar Badrul Hisyam dan Khairul Hafiz mengambil satu acara iaitu 100m walaupun Khairul Hafiz juga layak dalam acara 200m.

"ISN akan sediakan dua pakar sains sukan untuk bantu dalam proses nutrisi, pemulihan dan sebagainya sepanjang tempoh latihan, penyesuaian dan penyertaan di kejohanan dunia sehinggalah ke Sukma di Kuching," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shapawi berkata kesemua atlet akan diiring jurulatih masing-masing iaitu Mohd Poad Md Kassim yang merupakan jurulatih kepada Badrul Hisyam dan Khairul Hafiz; Isnin Mahadi (Mohd Rizzua) dan VictorSonikov (Kirthana).

"Apa yang kita harapkan mereka dapat mempamerkan prestasi dan pencapaian yang baik di kedua-dua kejohanan yang bakal disertai itu.

"Kita sangat menghargai pengorbanan kesemua atlet ini yang sedia memikultugas negara dan juga melaksanakan misi negeri masing-masing di Sukma," katanya.

Sementara itu, Karim berkata penyertaan keempat-empat atlet remaja berkenaan adalah platform terbaik untuk mengukur prestasi mereka di peringkat yang lebih tinggi.

Selain itu, beliau berkata para atlet juga dapat mempersiapkan diri mereka pada masa hadapan sekiranya berlaku lagi situasi kesuntukan masa, berulang lagi di masa akan datang.

"Ini adalah kumpulan atlet remaja terbaik yang kita ada untuk masa depan.Jadi ini peluang mereka untuk persiapkan diri sebab seperti juga jaguh dunia lain, mereka menyertai pelbagai kejohanan di merata dunia," katanya.

Keempat-empat atlet itu berkemungkinan besar akan berlepas ke Poland lebih awal dijangka pada Hari Raya pertama atau kedua, iaitu tempoh terbaik untuk penyesuaian dengan cuaca sebelum kejohanan bermula, katanya.-Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain