KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei menganggap musuh tradisinya dari China iaitu Lin Dan lebih sukar untuk diatasi dalam mencapai impiannya untuk meraih pingat emas pertama Malaysia dalam Sukan Olimpik, Rio de Janeiro. Beliau yang kembali menerajui ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) minggu lalu mengakui bahawa pemain nombor tiga dunia itu lebih bahaya berbanding rakan senegaranya Chen Long yang kini berada di tangga kedua. "Kedua-dua mereka cabaran besar bagi saya, tetapi Lin Dan lebih sukar diatasi kerana dia sudah bermain untuk tempoh yang lama dan mempunyai pengalaman luas. Kita tidak boleh pandang rendah terhadap mereka kerana tersingkir awal pada kejohanan-kejohanan Superseries kerana mereka mungkin tidak serius. "Jika terlepas satu kejohanan Superseries, ada lagi satu, tetapi Olimpik hanya empat tahun sekali, maka cabarannya lain. Ia bergantung kepada kekuatan mental siapa yang lebih tinggi dan latihan habis-habisan untuk dua bulan ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi latihan di sini Rabu. Di samping perlu berwaspada dengan musuh utamanya dari China itu, Chong Wei yang akan membuat penampilan keempat di Sukan Olimpik Rio selepas membuat penampilan pertama pada 2004, turut tidak mahu memandang rendah terhadap kebolehan pemain lain yang boleh membuat kejutan. "Saya tidak boleh pandang rendah lawan lain seperti Jan O Jorgensen dan Viktor Axelsen dari Denmark, Srikanth Kidambi (India), Tommy Sugiarto (Indonesia) dan pemain-pemain lain dari Eropah, Asia dan Hong Kong. Jadi saya kena fokus dari pusingan pertama lagi kerana ia lebih sukar berbanding Olimpik. "Apa yang penting buat masa ini ialah persiapan dari segi fizikal dan mental untuk dua bulan lagi. Saya akan mengikuti program latihan yang diberikan oleh jurulatih Hendrawan dan Tey Seu Bock walaupun susah macam mana pun," kata pemenang pingat perak Olimpik 2008 di Beijing dan 2012 di London. Pemain berusia 33 tahun ini berharap Majlis Olimpik Malaysia akan sentiasa memantau dan berkomunikasi dengan penganjur mengenai penularan virus Zika di negara Amerika Selatan itu dan beliau tidak mahu perkara itu mengganggu fokusnya. Chong Wei juga berharap Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan para jurulatihnya dapat menyelesaikan masalah pas kebenaran masuk ke perkampungan sukan untuk membawa dua rakan latihan ke Rio. Terdahulu Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen berkata jumlah rakan latihan yang akan mengiringi Chong Wei dan kem badminton negara ke Rio masih belum diputuskan. "Ia bergantung pada jumlah pas dan pas harian yang mereka (penganjur) akan sediakan kepada kita. Tiada makna bawa lapan orang jika hanya dapat tiga pas harian, di mana lima orang tidak boleh masuk. "Sehingga kini yang kita tahu latihan akan bermula pada 24 Julai, terdapat lapan gelanggang dan jelas terdapat peruntukan bagi setiap negara peserta," katanya. Mengulas mengenai kemungkinan Chong Wei menyertai Terbuka Taiwan yang bermula 28 Jun hingga 3 Julai ini, bekas pemain Denmark ini berkata keputusan akan dibuat selepas berbincang dengan kedua-dua jurulatihnya. Bagaimanapun, berdasarkan pengiraan awal beliau yakin Chong Wei masih akan kekal sebagai pemain nombor satu dunia sehingga Olimpik walaupun tidak menyertai Terbuka Taiwan. Selain Chong Wei, pemain badminton lain yang turut melayakan diri ke Sukan Olimpik Rio ialah beregu lelaki Goh V Shem/Tan Wee Kiong, beregu campuran Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, perseorangan wanita Tee Jing Yi dan beregu wanita Vivian Hoo/Woon Khe Wei. - BERNAMA