suria

"Iceland Hanya Bertahan, Mereka Bernasib Baik" - Ronaldo

BINTANG Portugal Cristiano Ronaldo mengkritik Iceland sebagai tidak bercita-cita besar selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 pada aksi peringkat Kumpulan F Euro 2016, awal pagi Rabu.

Malah pemain Real Madrid itu turut enggan berjabat tangan dengan pemain Iceland sejurus tamat perlawanan di Saint-Etienne.

"Mereka meraikan (keputusan seri) seperti sudah memenangi Piala Euro atau sesuatu, itu adalah mentaliti sempit. Sebab itu mereka tidak melakukan apa-apa... Iceland hanya bertahan, mereka mempunyai dua peluang tetapi tidak menjaringkan sebarang gol," katanya.

Harapan Portugal untuk memenangi perlawanan itu terbantut selepas Birkir Bjarnason menjaringkan gol untuk Iceland sekali gus mengikat Portugal 1-1.

Portugal terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan bekas pemain Manchester United, Nani pada minit ke-31.

Ronaldo bagaimanapun berkata keputusan tersebut normal untuk mana-mana perlawanan pembukaan yang sukar.

"Ia bukan berlaku kepada kami sahaja. Malah ia turut menimpa Sepanyol, Perancis dan mana-mana pasukan... kami akan menang perlawanan akan datang dan mara," katanya.

Ronaldo yang melakukan penampilan ke-127 bersama Portugal menyifatkan Iceland sekadar bernasib baik.

Portugal menguasai bola sebanyak 72 peratus dan melakukan 26 percubaan untuk menjaringkan gol manakala Iceland hanya empat.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain