KUALA LUMPUR: Atlet bina badan negara Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah muncul sebagai individu penerima terbanyak Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) dengan ganjaran RM15,000 atas kejayaan meraih masing-masing satuemas dan perak, tahun lepas. Mohd Syarul Azman Mahen, 43, mendapat RM10,000 menerusi pingat perak dalam kategori 'athletic physique' (170kg) di Kejohanan Bina Badan dan Fizik Dunia Ketujuh 2015) di Bangkok, Thailand pada November dan RM5,000 hasil dari pingat emas yang dimenangi di Kejohanan Bina Badan dan Fizik Asia ke-49 di Uzbekistan,pada September tahun lepas. "Skim Shakam ini akan lebih menyuntik semangat saya untuk meraih lebih kejayaan dalam sukan bina badan. "Saya akan cuba mencipta kejayaan meraih pingat emas pada kejohanan Asia danDunia tidak lama lagi," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan majlis penyerahan Shakam di Majlis Sukan Negara (MSN) Bukit Jalil, Isnin malam. Atlet olahraga remaja negara Khairul Hafiz Jantan juga antara penerima insentif Shakam sebanyak RM12,500 atas kejayaan meraih satu emas dan dua perak di Kejohanan Olahraga Remaja Asia ke-17 di Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam, awal Jun. Khairul Hafiz mendapat RM7,500 menerusi pingat emas yang diraih dalam acara100m sekali gus bergelar remaja terpantas Asia, RM4,000 untuk pingat perak dalam acara 200m dan RM1,000 hasil dari pingat perak yang diraih dalam acara 4x100 berganti-ganti. Sementara itu, skuad ragbi negara menerima insentif RM40,000 berikutan kejayaan mereka muncul juara Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2016 Divisyen 1. Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyampaikan pemberian insentif Shakam kepada 39 atlet negara dalam satu majlis yang diadakan di MSN Bukit Jalil. MSN membayar RM262,063 di bawah Shakam kepada atlet yang meraih emas, perak dan gangsa di beberapa kejohanan yang disertai pada September 2015 hingga Jun tahun ini. -Bernama