SEPANG: Penerjun negara, Ooi Tze Liang akur dengan keputusan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) memilih Ahmad Amsyar Azman bagi menggantinya dalam acara 3m papan anjal pada Sukan Olimpik Rio 2016 diBrazil, Ogos ini. Tze Liang yang sebelum ini layak secara merit dalam dua acara kini perlu fokus melakukan persiapan bagi acara 10m platform selepas pulih daripada menjalani pembedahan tulang kering kakinya pada November lepas. "Saya akur dengan keputusan jurulatih untuk saya menumpukan perhatian dalam acara 10m platform sahaja dan yakin ia keputusan terbaik bagi diri saya,'katanya ketika ditemui pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad. Kesemua atlet terjun bersama jurulatih mereka, Yang Zhuliang sebelum ini berada di Guangzhou, China, bagi menjalani latihan dan persiapan ke Sukan Olimpik Rio yang bermula 5 hingga 21 Ogos ini. Tze Liang berkata kecederaan tulang kering dikakinya pulih dan beliau juga dapat menjalani latihan dengan baik ketika di Guangzhou. "Kecederaan saya boleh dikatakan pulih sepenuhnya..sekarang saya tengah berusaha untuk mendapatkan kembali suasana sewaktu saya mendapatkan slot ke Sukan Olimpik. Sasaran saya di Olimpik nanti adalah menjadi finalis dalam acara saya nanti," katanya. Tze Liang hanya memulakan sesi latihan ringan pada Mac ekoran terpaksa berehat panjang selepas mengalami kecederaan dalam Kejohanan Piala Asia di Pusat Akuatik Bukit Jalil, September tahun lepas. Selain Tze Liang, penerjun lain yang turut layak ke Sukan Olimpik adalah Cheong Jun Hoong, Nur Dhabitah Sabri, Pandelela Rinong dan Ng Yan Yee serta terbaru adalah Ahmad Amsyar. Sebagai rekod, Pandelela merupakan atlet terjun pertama negara yang menyumbang pingat Olimpik dalam acara 10m platform pada edisi 2012 di London. -Bernama