N'GOLO Kante akan digantung daripada beraksi bersama Perancis pada aksi suku akhir Euro 2016 selepas dilayangkan kad kuning ketika pasukan tuan rumah menundukkan Republik Ireland 2-1 pada awal pagi Isnin. Pemain tengah Leicester itu menerima kad kuning kedua dalam kejohanan tersebut selepas mengasari James McClean. Selepas dilayangkan kad kuning, Kante dikeluarkan dan posisinya diisi Kingsley Coman. Akibatnya, Kante tidak akan diturunkan dalam pertembungan suku akhir sama ada menentang Iceland atau England. Pemain pertahanan, Adil Rami juga turut digantung kerana dilayangkan kad kuning. "Saya tahu saya perlu lebih berhati-hati sebelum perlawanan itu. Kami tiada masa untuk mengira (keputusan kami). Perkara paling penting adalah membawa Perancis mara ke suku akhir. "Mara ke pusingan suku akhir amat menyeronokkan. Terdapat 23 pemain yang terpilih (dalam skuad) dan saya mempercayai sesiapa sahaja," katanya.