PARIS: Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) pada Jumaat menggugurkan kes doping ke atas pemain pertahanan Liverpool dan Perancis, Mamadou Sakho. Namun Sakho sudah pun menjalani tempoh penggantungan selama 30 hari yang dikenakan terhadapnya sebelum ini. Susulan keputusan itu, Sakho kini boleh meneruskan kariernya tetapi ia sudah terlambat buat pemain tersebut untuk mewakili Perancis dalam aksi final menentang Portugal awal pagi Isnin ini. Pemain berusia 26 tahun itu yang berpindah ke Anfield pada tahun 2013 dengan nilai perpindahan sebanyak 18 juta pound (RM93.3 juta) sekadar melakukan 28 penampilan bersama Perancis. Ternyata kes doping itu hampir memusnahkan kariernya. "Selepas perbicaraan dengan barisan peguam pemain dan beberapa pakar dari WADA - makmal yang dilantik untuk kes ini, Badan Kawalan, Etika dan Disiplin CEDB memutuskan untuk menggugurkan kes ini," kata UEFA. Sakho terpaksa digugurkan daripada skuad Perancis menjelang Euro 2016 apabila didapati positif dalam ujian doping selepas perlawanan Liga Europa menentang Manchester City Mac lalu. Namun pemain pertahanan itu dikatakan tidak mengetahui produk bertujuan untuk mengurangkan lemak badan yang diambilnya mengandungi bahan terlarang. "Saya gembira ia sudah berakhir. Saya mengharungi tempoh yang sukar tetapi saya tahu yang saya tidak melakukan apa-apa kesalahan," kata Sakho.