PEMAIN Perancis, Paul Pogba memberitahu rakan pasukannya bahawa dia memilih untuk menyertai Manchester United, lapor akhbar Perancis, L'Equipe. Pogba yang meninggalkan United pada 2012 ketika dibawah pimpinan Sir Alex Ferguson mendapat bidaan mencecah 100 juta pound (RM517 juta) dari Red Devils. Namun, kelab gergasi Real Madrid turut berminat untuk mendapatkan khidmat bintang muda Perancis itu. Pogba menyerlah pada musim lalu selepas membantu Juventus memenangi kejuaraan Serie A. Pemain berusia 23 tahun itu bagaimanapun lebih berminat untuk bekerjasama dengan Jose Mourinho di Old Trafford. "Pogba ada beritahu rakan rapatnya dan pemain skuad kebangsaan Perancis bahawa dia mahu kembali ke Manchester United," demikian menurut laporan L'Equipe. Menurut laporan itu, pegawai United akan bertemu dengan Juventus dalam tempoh beberapa hari lagi untuk memuktamadkan perpindahan Pogba.