KUALA LUMPUR: Ratusan peminat bola sepak berhimpun di BRJ Bistro, Wangsa Maju bagi menyaksikan perlawanan akhir Euro 2016 antara Portugal menentang tuan rumah, Perancis pada awal pagi Isnin. Biarpun orang ramai akan kembali menjalankan tugas selepas menyambut Aidilfitri, namun ia tidak menghalang peminat tegar ini menjadi saksi kejuaran pasukan kegemaran mereka. Seorang daripada penyokong Portugal yang memenuhi restoran berkenaan, Muhamad Faris Bahrin berkata, waktu perlawanan akhir Euro di awal pagi tidak menjadi masalah baginya menyaksikan kehebatan beberapa pemain beraksi di padang. "Tidak sia-sia saya tunggu untuk saksikan final malam ini ternyata Portugal akhirnya bergelar juara dengan menewaskan Perancis 1-0. "Walaupun esok sudah mula bekerja tapi saya takkan lepaskan peluang melihat sendiri jaringan gol daripada pemain kegemaran saya Eder," katanya. Bagi Mohd Yusuf Erdi pula, kemenangan di minit terakhir perlawanan tersebut merupakan rezeki buat pasukan Portugal. "Pada awalnya saya agak bimbang kerana Cristiano Ronaldo tidak dapat beraksi pada babak kedua akibat mengalami kecederaan lutut. "Mungkin tuah memihak kepada Portugal pagi ini dengan jaringan Eder dan kekuatan pertahanan serta penjaga gol, Rui Patricio harus diberikan pujian," jelasnya. Berbeza pula di NZ Curry House, Wangsa Maju, majoriti peminat Perancis yang berkumpul pulang kecewa dengan kekalahan tersebut. Seorang daripadanya, Husaini Rahmat berkata peluang untuk melihat pemain muda Griezmann menjaringkan gol tidak kesampaian. "Saya mengharapkan Griezmann dapat berikan kejutan walaupun dengan satu gol tetapi mungkin nasib tidak berpihak pada Perancis. "Banyak peluang di awal permainan tetapi yang betul-betul beraksi hanya Sissoko," katanya. Selain itu, Muhammad Faiz Shauki menyifatkan corak permainan Perancis sedikit perbezaan dari sebelumnya. "Awal permainan lagi dah dapat lihat pemain lebih berhati-hati dan mereka banyak tertumpu pada bahagian tengah jadi Griezmann tak berpeluang untuk dapatkan bola. "Saya ingat sejarah akan tercipta semula kerana waktu Piala Dunia Fifa 1998 pasukan Perancis menjadi juara di stadium yang sama, Stade de France ini, tetapi sayangnya kali ini tidak lagi," katanya. Aksi Euro 2016, melabuhkan tirai dengan kemenangan Portugal 1-0 menerusi gol jaringan Eder pada minit akhir masa tambahan menewaskan Perancis.