suria

Santos Teruja, Griezmann Akui Bola Sepak 'Kejam'

PENGURUS Portugal, Fernando Santos mengakui sangat teruja selepas pasukannya dinobatkan sebagai juara Euro 2016 dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Perancis pada aksi akhir di Stade de France awal pagi Isnin.

"Sudah tentu saya sangat gembira. Pertama sekali, saya ingin megucapkan terima kasih kepada Tuhan kerana bersama kami, juga kepada isteri saya, emak dan cucu.

"Juga terima kasih kepada Greece. 

"Cristiano Ronaldo merupakan contoh yang terbaik. Hari ini dia cuba untuk kekal di atas padang. Dia seoraang yang tabah dan ketika di bilik persalinan dia turut membantu pemain-pemain lain...inilah yang dikatakan kerjasama pasukan.

"Kami mempunyai masa depan yang cerah tetapi buat masa sekarang kami ingin meraikan kejuaraan terlebih dahulu," jelasnya ringkas selepas menerima trofi kejuaraan.

Sementara itu, jurulatih Perancis Didier Deschamps mengakui pasukannya mendapat peluang untuk menjaringkan gol, namun sebaliknya berlaku.

Deschamps kelihatan kecewa selepas menerima pingat naib juara Euro 2016.

"Walaupun kami berada dalam keadaan penat, ia bukan alasan. Kami mempunyai peluang untuk jaringkan gol, dan peluang terakhir itu diperolehi Dede Gignac.

"Peluang yang datang itu sama seperti Portugal, tetapi malang sekali mereka yang menjaringkan gol.

"Kami membuang peluang itu untuk menjadi juara Eropah," katanya.

Sementara itu, pemain Perancis yang bergelar penjaring terbanyak kejohanan ini, Antoine Griezmann mengakui bola sepak adalah 'kejam'. 

Antoine Griezmann


"Bola sepak sangat kejam tetapi ia mengagumkan. Ia membenarkan kita mengutip pengalaman indah dan juga pahit.

"Kami telah memberikan segalanya pada malam ini dan tidak menyesal walaupun tewas, malah berasa bangga terhadap setiap orang.

"Kami tidak terlalu terkilan seperti mana bertemu Jerman sebelum ini apabila setiap percubaan diselamatkan oleh penjaga gol.

"Portugal bukan hanya tertumpu kepada Ronaldo sahaja. Barisan pertahanan mereka sangat mantap malah dapat menjaringkan gol tanpa dia (Ronaldo).

"Saya gembira menerima 'Kasut Emas' tetapi dalam masa sama berasa kecewa. Saya benar-benar mahukan trofi kejuaraan itu," jelasnya yang menyumbang enam gol untuk Perancis  sepanjang kejohanan berlangsung.

Sebagai rekod, Perancis pernah melakar kejuaraan Euro pada tahun 1984 dan 2000. 
Euro 2016, Portugal, Perancis

Artikel Berikut

Artikel Lain