suria

Malaysia Tambah Empat Pingat di AUG

SINGAPURA: Skuad olahraga negara terus cemerlang dengan menyumbang dua pingat emas daripada empat yang dimenangi kontinjen Malaysia di hari ketiga Sukan Universiti ASEAN ke-18 pada Jumaat.

Jaguh lontar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin memenangi pingat emas acara itu apabila mencatat 54.25 meter, meninggalkan Malasri Aroonsil dari Thailand dan atlet Vietnam, Phan Than Binh yang masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga dengan catatan 47.10m dan 43.01m.

Namun catatan Muhammad Irfan di Stadium Choa Chu Kang itu masih jauhdaripada rekod kebangsaan miliknya pada jarak 59.29m.

Satu lagi emas olahraga diperoleh dalam acara 3,000m berhalangan menerusi Ahmad Luth Hamizan yang mencatat masa 9 minit 30.96 saat, untuk meninggalkan peserta Filipina, Angus Jomar dan Thamavongchith Sysavath dari Laos.

Bagaimanapun, catatan Ahmad Luth itu masih jauh daripada catatan peribadi terbaiknya 9:18.42s yang dilakukannya di Sukan SEA Singapura 2015.

Skuad olahraga negara telah menyumbang empat emas setakat ini selepas memenangi acara 100m lelaki dan wanita semalam, masing-masing menerusi Jonathan Nyepa dan Zaidatul Husniah Zulkifli.

Selain olahraga, dua lagi emas negara hari ini disumbang atlet lawan pedang. Di Dewan Pusat Sukan Stephen Riady, Natasha Ezra Abu Bakar menundukkan Justine Gail Tinio dari Filipina 15-9 manakala Joshua Koh menang 15-11 ke atas atlet Indonesia, Ryan Pratama untuk memastikan emas buat kontinjen negara.

Sementara itu, di separuh akhir acara bola sepak, Malaysia tewas 1-2 kepada Timor Leste di padang Universiti Teknologi Nanyang. Faiz Mohd Bandong menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-53 selepas Timor Leste membuka jaringan seawal minit kesembilan menerusi Henrique Wilson.

Namun Edit Romanos Cristivao memastikan Timor Leste mara ke final apabila menghasilkan gol pada minit ke-83. Malaysia kini akan berdepan tuan rumah, Singapura dalam penentuan pingat gangsa manakala Timor Leste pula berdepan Thailand.

Kontinjen negara kekal di tangga ketiga keseluruhan dengan 13 emas, 17 perakdan 19 gangsa, di belakang Thailand (27-17-14) dan Indonesia (19-28-14). -Bernama

AUG

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain