KUALA NERUS: Terengganu gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila dibelasah 1-6 oleh Kelantan dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Jumaat malam. Seawal minit ketiga, skuad Penyu dihukum menerusi jaringan Blazhe Ilioskiyang bijak menyudahkan sepakan penalti selepas pemain pertahanan Terengganu, Vincent Bikana mengasari pemain lawan. Insiden itu menyebabkan pengadil perlawanan, Mohd Zohri Tajuddin melayangkankad merah kepada Vincent Bikana, sekali gus menyaksikan skuad bimbangan Mike Mulvey terpaksa beraksi dengan 10 pemain. Namun, situasi itu tidak mematahkan semangat pasukan tuan rumah dan empat minit berselang, penyerang Terengganu Issey Farran Nakajima berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma. Asakan bertali arus dilancarkan anak buah Velizar Emilov Popov sekali lagi membuahkan hasil selepas Wander Luiz Junior bijak menggunakan peluang untuk menjarakkan kedudukan pada minit ke-45. Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan bagi menambah jaringan, namun berjaya dipatahkan barisan pertahanan masing-masing. Enggan berputih mata, Issey Nakajima cuba mengatur gerakan dan melancarkan serangan ke gawang lawan, namun percubaannya tersasar. Pada minit ke-59, gawang tuan rumah terus dibolosi menerusi jaringan Wan Zack Haikal, untuk menewaskan penjaga gol Terengganu Mohd Sharbinee Allawee. Kealpaan skuad Penyu menyaksikan pintu gol mereka sekali lagi dirobek pada minit ke-63 menerusi Blazhe Ilioski yang bijak menyempurnakan hantaran Abdul Manaf Mamat. Blazhe Ilioski terus menghukum kesilapan pasukan tuan rumah dengan menambah jaringan peribadinya pada minit ke-75 dan 85. -Bernama