suria

Khairul Idham Raih Kemenangan Podium Kedua Di Jerman

Khairul Idham Pawi bersama trofi kemenangan. Foto EPA

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi sekali lagi mencipta sejarah apabila meraih kemenangan podium pada perlumbaan motosikal Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring, Ahad.

Ini merupakan kemenangan kedua pelumba berusia 17 tahun yang mewakili Honda Team Asia itu selepas kejayaan di GP Argentina pada April lepas.

Beraksi di litar basah akibat hujan sebelum perlumbaan, jelas memberi kelebihan buat Khairul Idham, yang lebih dikenali sebagai Super KIP yang bermula dari petak ke-20, apabila pantas memintas pelumba lain sehingga berada di kedudukan ketujuh sebaik bermula.

Anak kelahiran Kampung Gajah, Perak itu membuktikan beliau memang 'Raja Litar Basah' apabila terus memimpin perlumbaan sehingga tamat dengan catatan masa 47 minit 07.763 saat.

Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi pelumba dari Itali, Andrea Locatelli dari pasukan Leopard Racing dan Enea Bastianini dari pasukan Gresini Racing.

"Syukur Alhamdulillah dan terima kasih kepada pasukan saya yang sentiasa berusaha keras untuk saya.

"Ia adalah perlumbaan yang sukar dan banyak yang berlaku sewaktu perlumbaan tadi. Mulanya saya terlalu mendesak jentera saya sebelum sedar perlu lebih bertenang dan cuba mengawal keadaan. 

"Saya harap keluarga saya, rakan dan peminat akan bergembira dan menikmati kemenangan ini," katanya.

Kemenangan pada Ahad membolehkan Khairul Idham kini berada di tempat ke-10 keseluruhan selepas mengumpulkan 54 mata. Pelumba Afrika Selatan Brad Binder dari pasukan Red Bull KTM Ajo masih mendahului dengan 159 mata. - Bernama

Khairul Idham Pawi

Artikel Lain