KUCHING: Penembak Selangor, Rishipal Singh Dhanoa cemerlang dengan menyumbang dua pingat emas acara menembak 10 meter air pistol lelaki, dan bersama Tan Tong Tat serta Ng Chen Shin mencipta rekod Sukma dalam acara berpasukan. Trio Selangor itu mencatat 1,697 mata di Lapang Sasar Sarawak, di sini untuk mengatasi rekod lama 1,680 yang dilakukan Pahang di Sukma Pahang 2012. Terdahulu, Rishipal mengutip emas dalam acara individu dengan catatan 574 mata yang menyamai rekod Abdul Hadi Abd Malek dari Pahang yang dilakukan pada edisi 2012. Abdul Hadi pula sekadar mengutip pingat perak dengan 572 mata manakala Tandi tempat ketiga selepas mencatat 568 mata. Rishipal mengakui gembira mendapat kemenangan berganda pada Khamis dan berharap dapat mengulangi pencapaian itu dalam acara 25m sport pistol individu dan berpasukan esok (Jumaat). "Saingan begitu hebat dari Abdul Hadi dan Eddy Chew (Johor) yang kedua-duanya adalah penembak kebangsaan. Namun kali ini saya berjaya melakukan yang terbaik... saya cukup gembira. "Saya juga terlepas satu mata untuk memecahkan rekod kejohanan (acaraindividu) tetapi dalam acara berpasukan, kami bertiga beraksi dengan cemerlang," kata pelajar Universiti Sunway itu. Sementara itu, penembak Pahang, Alianazirah Ishak turut menyumbang dua emas untuk membantu negeri tersebut kekal mendahului pungutan pingat keseluruhan acara menembak Sukma selepas empat hari pertandingan. Beliau menjuarai acara 25m sport pistol individu wanita dengan 563 mata manakala dua penembak Selangor, Aida Amirah Mohd Sheriff dan Nur Zunaira Zakaria, masing-masing mendapat perak dan gangsa dengan catatan 557 dan 556 mata. Alianazirah kemudian berganding dengan Nik Nur Nabilah Syahidah Nik Nor Rosdi dan Nurul Huda Khairu Nasir untuk menyumbang emas kedua dalam acara berpasukan dengan catatan 1,666 mata. Selangor dan Negeri Sembilan terpaksa berpuas hati dengan perak dan gangsa selepas masing-masing mencatat 1,644 dan 1,611 mata. Pahang masih kekal pendahulu pungutan pingat acara menembak dengan 10 emas, 5 perak dan empat gangsa diikuti Selangor (6-7-5) dan Perak (3-2-2). Empat lagi pingat emas ditawarkan pada hari terakhir acara menembak pada Jumaat iaitu 25m sport pistol individu dan berpasukan lelaki serta 50m Rifle 3 posisi individu dan berpasukan wanita.-Bernama