KUCHING: Selepas muncul juara keseluruhan temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-18 di sini, kontinjen Selangor mahu melakukan persediaan awal bagi menghadapi edisi akan datang di Perak dua tahun lagi. Ketua kontinjen Selangor, Datuk Yassin Salleh berkata, mereka akan membuat post mortem selepas ini agar dapat menyediakan program yang lebih mantap untuk Sukma akan datang. "Daripada penelitian yang telah dibuat, ada beberapa jenis sukan yang tidak menyumbang. Kita akan lakukan post mortem...mungkin ada ruang yang boleh kita baiki. "Selepas post-mortem, Majlis Sukan Negeri Selangor mungkin akan mengadakan program awal untuk persediaan menghadapi edisi akan datang. "Bagi Selangor, kita agak selektif dalam pemilihan atlet. Hanya atlet yang ada prospek dan dilihat mampu menyumbang pingat kepada kontinjen, akan kita pilih," katanya kepada Bernama. Selangor muncul juara keseluruhan bagi kali kesembilan selepas memenangi 59 pingat emas, 73 perak dan 63 gangsa untuk mengatasi saingan sengit kontinjen tuan rumah yang mempunyai kutipan pingat, 57-43-59. Sementara itu, Terengganu yang juga juara empat kali pada 2008, 2010, 2011 dan 2012, menduduki tempat ketiga dengan 47-42-44. Temasya Sukma yang bermula pada 1986 di Kuala Lumpur, menyaksikan Selangor muncul juara keseluruhan pada 1988, 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006 dan 2013. Mengenai pencapaian kontinjen Selangor kali ini, Yassin berkata, beliau amat berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan atlet negeri itu. "Secara keseluruhan kita berjaya mengatasi sasaran awal pingat emas iaitu 48 sahaja, dan kita telah mencapai sebanyak 59 emas," katanya. Acara renang menjadi lubuk pingat emas Selangor dengan menyumbang 20 emas, satu pencapaian terbaik direkodkan dalam sejarah temasya dwitahunan itu. Selain itu, skuad menembak menyumbang enam emas diikuti gimnastik artistik (lima); berbasikal, olahraga, pencak silat, karate dan terjun masing-masing tiga; angkat berat, tenis, badminton dan memanah masing-masing dua; dan masing-masing satu dalam taekwondo, pelayaran, petanque, wushu dan bola tampar. - Bernama