suria

NAAM Kecewa, Mahu Skuad Memanah Bangkit Di Tokyo

Khairul Anuar Mohamad

KUALA LUMPUR: Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) yang kecewa dengan prestasi atletnya di Sukan Olimpik Rio de Janeiro, mahu mereka bangkit di Sukan SEA 2017 dan Sukan Olimpik 2020 di Tokyo. 

Presidennya Mohamad Yazid Yahya berkata NAAM, Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan juga atlet sendiri harus mengkaji di mana berlakunya kesilapan supaya prestasi pemanah dapat ditingkatkan semula.

Beliau berkata ia juga penting bagi memastikan pemanah dapat bangkit dan mengulangi pencapaian terbaik negara dalam Sukan SEA 2015 iaitu menang lima daripada 10 pingat emas yang dipertandingkan, apabila Malaysia menganjurkan temasya dwitahunan itu tahun hadapan. 

"Harapan kita ialah membawa pulang pingat Sukan Olimpik Rio, tak kira apa warnanya.

"Tapi harapan itu tidak kesampaian apabila pemanah kita kalah di pusingan awal, sedangkan kita telah hantar mereka menjalani latihan pusat di Korea Selatan.

"Sekarang cabaran besar untuk kami adalah mengulangi kejayaan Sukan SEA 2015 apabila Malaysia menjadi tuan rumah tahun depan.

"Kita dah lihat pemanah lelaki dari Indonesia, Thailand dan pemanah wanita dari Thailand, Filipina serta Myanmar semakin meningkat dan jika kita tak bangkit, kita akan gagal," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) NAAM di MSN Taman Keramat di sini, Jumaat.

Sementara itu, beliau mengakui jurulatih kebangsaan, Lee Jae-hyung sebagai antara jurulatih terbaik di dunia, tetapi sudah tiba masanya untuk menukar jurulatih baharu yang lebih mengetahui perkembangan terkini sukan tersebut.

"Pada pandangan peribadi saya, walaupun kita mendapat jurulatih kedua terbaik tetapi mempunyai pengetahuan terkini, ia masih cukup baik untuk meningkatkan prestasi pemanah negara.

"Saya akan bincang dengan ISN dan MSN. Kita akan buat penilaian sama adabeliau masih layak menjadi jurulatih atau tidak ataupun diberi peluang melatih skuad pembangunan," jelasnya.

Pada masa sama, Mohamad Yazid mengakui sebarang keputusan mengenai status jurulatih yang berasal dari Korea Selatan itu hanya boleh diambil ISN kerana kontraknya di bawah Program Podium kendalian institut berkenan.

Sebelum ini, trio memanah negara terdiri daripada Khairul Anuar Mohamad, Haziq Kamaruddin dan Muhammad Akmal Nor Hasrin gagal ke suku akhir di Rio apabila tewas kepada Perancis 2-6 dalam pusingan penyingkiran acara recurve berpasukan pada Sabtu lalu.

Kekecewaan itu berterusan dalam acara recurve individu semalam apabila Khairul Anuar tewas 4-6 kepada Florian Floto dari Jerman pada pusingan kedua, manakala Muhammad Akmal dan Hafiq tersingkir pada pusingan pertama lagi. -Bernama

Sukan Olimpik, NAAM, Memanah

Artikel Sebelum

Artikel Lain