suria

Kelantan Terpaksa Ambil Risiko Tewas Kepada Selangor

Pemain Kelantan Wan Zaharulnizam Zakaria diasak pemain Selangor R. Gopinathan dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke IV, Jumaat malam. Foto: Bernama

KOTA BAHARU: Pasukan Kelantan terpaksa mengambil risiko tewas 4-1 kepada Selangor dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV Jumaat malam semata-mata mahu tonggak utama termasukpemain import mendapat rehat yang secukupnya bagi menghadapi Pulau Pinang Selasa ini.

Pengurus pasukan itu, Wan Badri Wan Omar berkata pasukannya akan menentang Pulau Pinang pada perlawanan Liga Super itu di Pulau Pinang, yang akan menentukan Kelantan berada pada kedudukan keempat dalam liga berkenaan.

"Kami mengetahui pasukan Pulau Pinang mendapat rehat selama sepuluh hari selepas perlawanan terakhir mereka pada 6 Ogos lalu, dalam tempoh rehat hampir dua minggu itu, kami yakin mereka cukup bersedia pada perlawanan itu nanti.

"Kelantan kini berada pada kedudukan tangga keempat dari bawah dalam Liga Super, jurang mata sangat rapat, jadi kami tidak boleh kehilangan mata pada pertemuan tersebut," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Wan Badri menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya pasukannya terlalu yakin dapat menewaskan Selangor dengan hanya menurunkan ramai pemain muda, selepas Kelantan layak melangkah ke peringkat suku akhir Piala Malaysia.

Beliau berkata pasukannya juga terpaksa melakukan pergiliran pemain bagi memberi ruang kepada pemain yang tidak pernah beraksi pada perlawanan sebelum ini, meningkatkan prestasi.-Bernama

Kelantan, Piala Malaysia

Artikel Lain