suria

Tiada Pingat Daripada Pandelela, Dhabitah Dalam Acara 10m Platform

Pandelela Rinong
RIO DE JANEIRO: Kecederaan berterusan yang dialaminya menghalang Pandelela Rinong ke podium sekali lagi dalam acara 10 meter platfrom individu dan hanya mampu menduduki tempat ke-11 dalam pusingan akhir di Sukan Olimpik Rio di sini pada Khamis.

Peserta Olimpik Malaysia paling muda di Rio, Nur Dhabitah Sabri, 17, lebih menyerlah mengatasi pemenang pingat perak berusia 23 tahun itu, apabila menduduki tempat kesembilan mengatasi Pandelela yang berada di tempat kedua akhir.

Nur Dhabitah mencatat 338.00 mata sementara Pandelela, pemegang pingat gangsa dalam acara ini di Sukan Olimpik London 2012, mengutip 330.45 mata.
  

China mengutip pingat emas dan perak dalam acara ini masing-masing melalui Ren Qian (439.25) dan Si Yajie (419.40).

Peserta Kanada Meaghan Benfeito mengumpul 389.20 mata untuk memenangi pingat gangsa.

Pandelela bagaimanapun telah berjaya mengubah kilauan warna pingat yang dikutipnya kali ini di Rio apabila memungut pingat perak, yang pertama untuk atlet Malaysia di sini, dalam acara 10 meter platform seirama dengan Cheong Jun Hoong.

Dijangkakan untuk mengutip satu lagi pingat dalam acara terjun, Pandelela memulakan cabaran dengan menduduki tempat keenam sementara Nur Dhabitah pada kedudukan ke-11 dalam pusingan separuh akhir enam jam sebelum itu.

Dalam pusingan akhir, kecederaan yang berulang menjejaskan peluang anak Sarawak itu yang mendapat sokongan moral daripada ibu, bapa dan abangnya yang datang dari jauh untuk bersama-sama melihat dia beraksi.

"Semangat itu ada tapi kekuatan tiada," kata Pandelela yang mengakui ini bukan hari terbaiknya.

Kecederaan menghantuinya pada bahu, belakang dan pinggang sejak dua bulan sebelum Sukan Olimpik berlangsung.

"Saya telah mencuba yang terbaik walaupun tidak cukup sihat secara fizikal untuk pertandingan yang sengit sebegini. Ini bukan alasan," katanya.

Ditanya sama ada dia mahu berehat untuk kembali cemerlang, Pandelela berkata rehat yang lama akan menjejaskan prestasinya.

Sementara itu, Nur Dhabitah, gadis manis yang kaya dengan senyuman hinggakan menarik komen pengulas acara itu mengenainya, berkata dia berpuas hati kerana dapat bersaing hingga ke pusingan akhir dalam penyertaan sulungnya dalam Sukan Olimpik.

"Saya bersyukur dan bertuah dapat beraksi di gelanggang kejohanan peringkat dunia dan tidak menyangka dapat mengatasi Pandelela dalam pusingan akhir," katanya.

"Saya hanya mahu mengikut jejak langkah peserta senior dalam pasukan negara," kata Dhabitah yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun ini.

"Saya senyum untuk menghilangkan tekanan," katanya yang terus menguntum senyuman ketika ditemu bual.





Artikel Lain