suria

Chong Wei, Hati-Hati Psikologi Lin Dan - Rashid

Lee Chong Wei. Foto AZHAR MAHFOF/The Star

KUALA LUMPUR: Peluang jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei untuk menewaskan musuh tradisinya dari China, Lin Dan pada perlawanan separuh akhir perseorangan lelaki dilihat lebih cerah jika prestasi semasa dijadikan ukuran.

Bekas ketua jurulatih kebangsaan, Rashid Sidek berkata, pemain nombor satu dunia itu perlu berwaspada dengan perang psikologi yang bakal digunakan Lin Dan dalam perlawanan pada Jumaat.

"Kedua-dua pemain ini mempunyai corak permainan yang lebih kurang sama, tetapi Chong Wei harus berhati-hati dengan pelbagai muslihat yang bakal dilakukan oleh musuh tradisinya itu," kata pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu kepada Bernama.

Rashid yang pernah membimbing pemain berusia 32 tahun itu mengakui Chong Wei mempunyai kelebihan dari segi serangan dan 'smashing'.

"Beliau perlu variasikan cara permainannya, seperti 'fast-play' dan 'rally', jika tidak Super Dan pasti akan senang membaca langkah serangannya," katanya.

Sementara itu, jaguh beregu negara, Datuk Razif Sidek turut sependapat dengan adiknya.

"Jika dilihat rekod pertemuan mereka, ternyata Lin Dan telah memenangi semua kejohanan-kejohanan yang besar ke atas Chong Wei.

"Namun seandainya Chong Wei berjaya mengekalkan rentak, tidak hilang fokus dan mempunyai kenyakinan yang tinggi, itu pasti akan memberi kelebihan kepadanya," katanya.

Beliau berkata, seandainya Chong Wei berjaya melepasi Lin Dan, perlawanan akhir dijangka juga sengit kerana Chen Long dilihat tidak ada masalah untuk mengenepikan Viktor Axelsen dari Denmark untuk ke final.

Chong Wei akan menentang Lin Dan dari China pada aksi separuh akhir perseorangan lelaki manakala Chen Long bakal menentang Viktor. - Bernama

Lee Chong Wei

Artikel Berikut

Artikel Lain