suria

Bapa Puji Aksi Cemerlang V Shem

Sebahagian anggota keluarga pemain beregu badminton negara Goh V Shem bersemangat untuk memberi sokongan sempena perlawanan akhir secara langsung menentang beregu China sempena pingat emas pertama Olimpik negara di kediamannya awal pagi Sabtu. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Bapa kepada Goh V Shem, Ricky Goh memuji persembahan cemerlang ditampilkan anaknya dan Tan Wee Kiong walaupun tewas pada aksi final badminton beregu lelaki Sukan Olimpik Rio di Brazil pada Jumaat.

V Shem-Wee Kiong kalah 21-16, 11-21 dan 21-23 kepada pasangan keempat dunia, Fu Haifeng-Zhang Nan dari China pada aksi final yang penuh mendebarkan.

"Kita tidak pernah jangka mereka akan raih pingat perak kerana saya dan isteri cuma beri nasihat kepada V Shem untuk pamerkan aksi terbaik...kalau dapat gangsa pun sudah bagus.

"Saya gembira kerana mereka bermain bermati-matian pada aksi final dan itu sudah cukup mengembirakan saya...siapa tidak mahu pingat emas tapi nasib mungkin tak ada pada mereka kali ini," kata Goh ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan final acara berkenaan, di sini Jumaat.

Goh berkata beliau serta isterinya, Ng Ley Kin serta sanak saudara akan menyambut kepulangan V Shem apabila skuad badminton negara kembali ke tanah air pada 24 Ogos ini, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.

"Kita turut akan mengadakan jamuan besar-besaran bagi menghargai pencapaian beliau," katanya.

Goh turut mendedahkan hanya berhubung dengan anaknya menerusi aplikasi Whatsapp kerana tidak mahu mengganggu persediaan pemain berusia 27 tahun itu. - BERNAMA

Goh V Shem, Sukan Olimpik 2016

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain