suria

Keluarga Bangga Kejayaan Wee Kiong Di Olimpik Rio

Pasangan beregu badminton lelaki negara Tan Wee Kiong (kanan) dan pasangannya Goh V Shem meraih pingat perak pada Sukan Olimpik Rio 2016. - fotoBERNAMA

TAWAU: Anggota keluarga pemain negara, Tan Wee Kiong, gembira dengan pencapaian Wee Kiong dan gandingannya, Goh V Shem meraih pingat perak acara beregu lelaki badminton pada Sukan Olimpik Rio 2016.

Tan Hui Tat, adik lelaki Wee Kiong, berkata pasangan beregu lelaki negara itu berusaha habis-habisan dalam perlawanan akhir menentang gandingan dari China Fu Haifeng-Zhang Nan sepanjang perlawanan itu malam Jumaat.

"Mereka sudah bermain sebaiknya, namun, nasib tidak menyebelahi mereka. Bagaimanapun, kami tetap bersyukur kerana mereka mendapat pingat perak, yang pada mulanya, tidak dijangka mereka boleh melangkah sejauh itu," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir itu.

Hui Tat, 24, bersama ibunya Tan Yok Hua, dan adik perempuannya Tan Yun Ying, 15, serta anggota keluarga terdekat dan jiran menonton aksi peringkat akhir itu di kediaman mereka di Jalan Bunga Raya, di sini.

Dalam saingan akhir yang mendebarkan itu, gandingan V Shem-Wee Kiong tewas kepada Fu Haifeng-Zhang Nan 21-16, 11-21, 23-21.

Terdahulu, Yok Hua berkata impian suaminya Tan Cham Swee untuk melihat seorang daripada anaknya menyertai sukan berprestij itu akhirnya tercapai apabila Wee Kiong mewakili negara dalam acara tersebut.

Yok Hua, 52, berkata bapa Wee Kiong menyimpan impian tersebut dengan membina dua logo Olimpik menggunakan jubin di tepi rumah mereka pada 2011 dengan harapan ada antara anak mereka beraksi pada sukan Olimpik suatu hari kelak.

Di TANGKAK, keluarga Wee Kiong di Kampung Kundang Ulu tetap berbangga dengan kejayaan beliau walaupun gagal membawa pulang pingat emas pertama negara daripada temasya Olimpik Rio.

Tan Wee Gieen, 22, adik lelaki Wee Kiong, berkata beliau berharap abangnya itu tidak berputus asa, sebaliknya lebih bersemangat untuk memburu pingat emas pertama negara di temasya Olimpik Tokyo pada 2020 nanti.

"Abang saya dan pasangannya Goh V Shem telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dan hampir meraih pingat emas namun nasib tidak berpihak kepada mereka malam ini," katanya ketika ditemui pemberita.

Lebih 1,000 orang berkumpul di hadapan rumah Tan Kin Keang, bapa saudara Wee Kiong, untuk menyaksikan perlawanan akhir acara beregu lelaki itu.

Wee Gieen yang juga merupakan atlet pelapis bagi acara badminton beregu lelaki, berkata walaupun gagal meraih pingat emas, abangnya berjaya mengukir sejarah tersendiri dan menunaikan impian bapa mereka yang ingin melihat anaknya beraksi di Sukan Olimpik.

Wee Gieen berkata abangnya merupakan idola hidupnya dan beliau harap mampu menurut langkah Wee Kiong untuk beraksi di Olimpik Tokyo empat tahun lagi.

Sementara itu sepupunya, Tan Wei Hao, 29, berkata sebagai anggota keluarga terdekat dan rakyat Malaysia, beliau berbangga serta gembira dengan kejayaan Wee Kiong.

"Saya masih ingat lagi masa kecil dahulu pernah bermain badminton di sini (Kampung Kundang Ulu) bersama Wee Kiong dan rakan-rakan lain.

"Sejak kecil beliau (Wee Kiong) mempunyai bakat. Saya merupakan pasangan beregu pertama Wee Kiong namun yang bezakan kami adalah beliau wira negara dan saya penyokong nombor satunya," katanya. - BERNAMA


Artikel Berikut

Artikel Lain